HARI PAHLAWAN 2025: MENGANGKAT JASA, MENYANJUNG PERWIRA

HARI PAHLAWAN

Sempena sambutan Hari Pahlawan 2025 yang berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, peranan Tentera Darat Malaysia (TDM) sekali lagi diangkat sebagai antara tunjang utama keselamatan dan kedaulatan negara. Istiadat penuh istimewa ini turut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, sebagai simbol penghargaan negara kepada seluruh wira tanah air. TDM melalui pelbagai penugasan dan penyertaan dalam istiadat ini menzahirkan komitmen utuh terhadap Raja dan negara.

Pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) menggalas peranan sebagai Kawalan Kehormatan Utama yang diketuai oleh Mejar Muhammad Fikri bin Senan bersama 685 anggota lain-lain pangkat dan 18 pegawai. Turut hadir menyaksikan istiadat gilang-gemilang ini ialah Panglima Tentera Darat Ke-30, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, yang merupakan antara figura penting dalam menerajui ketumbukan darat negara serta barisan kepimpinan Tentera Darat yang turut memeriahkan istiadat perbarisan hari ini.

Detasmen gabungan Angkatan Tentera Malaysia turut memperlihatkan kesepaduan Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia. Keutuhan disiplin, ketepatan pergerakan, dan semangat esprit de corps dalam kalangan peserta perbarisan jelas menyerlahkan keupayaan tinggi dan profesionalisme semua pasukan keselamatan yang terlibat. Istiadat ini juga menyaksikan penglibatan aktif Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk dalam barisan pancaragam pusat, detasmen perbarisan, serta persembahan khas yang memperingati wira-wira biru yang telah gugur dalam perkhidmatan.

Hari Pahlawan bukan sekadar satu acara tahunan, malah menjadi detik memperingati keberanian, jasa dan pengorbanan perwira negara, khususnya anggota Tentera Darat Malaysia. Ia mengingatkan rakyat bahawa keamanan yang dinikmati hari ini adalah hasil titik peluh dan darah mereka yang sanggup berkorban jiwa dan raga demi tanah air tercinta. Hari penuh makna ini turut menyuntik semangat generasi muda Tentera Darat untuk terus mempertahankan kedaulatan negara dengan penuh iltizam dan keikhlasan.

#TenteraDaratMalaysia

#GagahSetia

#DutyHonourSacrifice

#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

#ATMSentiasaBersepadu

#KedaulatanNegaraTanggungjawabBersama

#AngkatanMasaHadapanBentengPertahananNegara