EKSESAIS KERIS STRIKE 2025: PENAMAT YANG KUKUH, PERMULAAN YANG LEBIH BESAR

EKS KERIS STRIKE

 

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan hari ini telah merasmikan majlis penutupan Eksesais Keris Strike Siri 30/2025 yang berlangsung di kawasan latihan sekitar Kuala Kangsar. Eksesais ini merupakan kerjasama trilateral antara Tentera Darat Malaysia, United States Army Pacific Command (USARPAC), dan Tentera Darat Australia, menandakan penyertaan Australia buat kali kedua dalam sejarah latihan ini sejak 1996. Dengan penglibatan lebih 4,000 anggota Tentera Darat Malaysia, 233 anggota USARPAC dan 151 anggota Tentera Darat Australia, eksesais ini menunjukkan tahap kesiapsiagaan dan keupayaan taktikal yang tinggi dalam mendepani pelbagai bentuk ancaman.

Majlis penutup turut menyaksikan upacara simbolik menanggalkan armband, penyampaian ucapan penutup oleh Panglima Tentera Darat, bacaan doa serta sesi pertukaran cenderamata. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa latihan seperti ini bukan sahaja menambah nilai profesionalisme ketenteraan, malah memperkukuh kerjasama strategik dan saling percaya antara negara-negara terlibat. Antara kemuncak eksesais tahun ini ialah tembakan langsung gabungan antara sistem pelancar roket ASTROS II milik Tentera Darat Malaysia dan sistem HIMARS milik Tentera Darat Amerika Syarikat, mencerminkan integrasi operasi yang mantap dan jitu.

Selain aspek ketenteraan, Eksesais Keris Strike turut memberi impak positif kepada masyarakat setempat melalui pelaksanaan program Civil-Military Cooperation (CIMIC) seperti pemeriksaan kesihatan percuma di Felda Lawin Selatan. Panglima Tentera Darat turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri Perak, masyarakat setempat serta semua perancang, jurulatih dan anggota yang terlibat. Beliau secara rasmi mengisytiharkan Eksesais Keris Strike Siri 30/2025 ditutup dan menyeru agar semangat keberanian, kerjasama dan persaudaraan yang dibina sepanjang eksesais ini terus dikekalkan demi keselamatan bersama.

#TenteraDaratMalaysia

#GagahSetia

#DutyHonourSacrifice

#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

#ATMSentiasaBersepadu

#KedaulatanNegaraTanggungjawabBersama

#AngkatanMasaHadapanBentengPertahananNegara