
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bersama baginda ialah Raja Permaisuri Perak, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Eksesais LEMBING SAKTI 2025 yang berlangsung di Lapang Sasar Tanjung Hantu, Hutan Simpan Segari Melintang.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dan Tuan Yang Terutama Edgard D. Kagan, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, dan Mejar Jeneral Reginald Neal, Timbalan Komander Tentera Darat Amerika Syarikat di Pasifik (USARPAC DCG) turut hadir menyaksikan eksesais yang julung kali diadakan bersama Tentera Darat Amerika Syarikat.
Eks LEMBING SAKTI ini merupakan eksesais tembakan roket hidup berskala besar yang melibatkan peluru berpandu SS-30 dan SS-40 Artillery Saturation Rocket System (ASTROS) daripada Briged Artileri Roket serta sistem persenjataan HIMARS dari Tentera Darat Amerika Syarikat.
Eksesais ini turut melibatkan kerjasama antara pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan seperti TLDM, TUDM, APMM dan Polis Gerakan Marin. Selain menguji kesiapsiagaan dan keberkesanan sistem senjata, eksesais ini juga menyaksikan pelaksanaan Complete Round Proof (CRP) roket SS-30 dan SS-40 dengan kerjasama Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).
Eksesais ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan tempur dan kesediaan anggota Tentera Darat Malaysia, malah mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala dengan negara sahabat. Latihan bersama seumpama ini memberi nilai tambah kepada pengoperasian peluru berpandu artileri moden dan memperkasakan koordinasi antara domain darat, laut dan udara dalam menghadapi ancaman masa hadapan.
#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

