
Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) menerima kunjungan hormat Chief of The German Army, Lieutenant General Alfons Mais dalam satu lawatan rasmi yang penuh bersejarah. Lawatan ini menjadi simbolik kepada hubungan pertahanan yang semakin kukuh antara Malaysia dan Jerman, sekaligus membuka lembaran baharu dalam kerjasama ketenteraan dua hala antara kedua-dua negara.
Ketibaan Lieutenant General Alfons Mais telah diberikan penghormatan dengan menerima tabik hormat serta memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada pasukan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang berlangsung di perkarangan MINDEF. Beliau turut disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim bersama barisan Pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia, menandakan penghormatan tinggi terhadap kehadiran beliau.
Lawatan rasmi ini memberi ruang penting kepada perbincangan strategik melibatkan pertukaran kepakaran, peluang latihan bersama, serta potensi kerjasama dalam teknologi pertahanan. Inisiatif ini diharap dapat memperkukuh tahap kesiapsiagaan dan profesionalisme Angkatan Tentera kedua-dua negara demi keselamatan dan keamanan serantau.
#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan

