PENGIKTIRAFAN CEMERLANG : 24 PEGAWAI KANAN TERIMA PEMAKAIAN PANGKAT TAHUN 2025

PKTPEGAWAIKANAN2025

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat Tahun 2025 bertempat di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur pada hari ini. Majlis turut dihadiri oleh Puan Sri To’ Puan Seri Hajah Hartiah binti Hamzah serta barisan kepimpinan tertinggi Tentera Darat Malaysia.

Majlis tersebut menyaksikan seramai 24 pegawai kanan menerima pemakaian pangkat sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan kecemerlangan dalam perkhidmatan. Daripada jumlah tersebut, 2 pegawai dinaikkan dari Brigedier Jeneral ke Mejar Jeneral, 1 pegawai dari Kolonel ke Brigedier Jeneral, 7 pegawai dari Leftenan Kolonel ke Kolonel, dan 14 pegawai dari Mejar ke Leftenan Kolonel. Kenaikan ini mencerminkan kepercayaan pucuk pimpinan terhadap keupayaan serta kepimpinan mereka dalam memacu profesionalisme dan kesiagaan Tentera Darat.

Dalam ucapannya, Panglima Tentera Darat merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pegawai yang dinaikkan pangkat dan mengingatkan bahawa setiap kenaikan hadir bersama amanah yang lebih besar. Beliau menyeru agar semua pegawai terus mengekalkan nilai integriti, disiplin dan kesetiaan dalam setiap tugasan demi kecemerlangan berterusan Angkatan Tentera Darat Malaysia sebagai sebuah organisasi yang gagah, setia dan berwibawa.

#TenteraDaratMalaysia

#GagahSetia

#AngkatanMasaHadapan

#DutyHonourSacrifice