SAMBUTAN PESTA KAAMATAN PERINGKAT TENTERA DARAT TAHUN 2025
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato' Seri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan telah merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Tentera Darat Tahun 2025 yang berlangsung meriah di Kem Lok Kawi pada 30 Jun 2025. Majlis ini menampilkan suasana penuh warna-warni budaya dan adat resam masyarakat Sabah yang diraikan bersama warga serta keluarga besar Tentera Darat Malaysia.
Sambutan ini bukan sahaja mencerminkan keindahan warisan budaya tempatan, malah memperlihatkan semangat perpaduan yang menjadi teras kekuatan Tentera Darat. Dalam ucapannya, Panglima Tentera Darat menekankan kepentingan mengekalkan identiti budaya sebagai asas ketahanan negara. Kisah pengorbanan Huminodun turut disingkap sebagai simbol cinta kepada tanah air dan rakyat, seiring dengan nilai-nilai kepahlawanan yang dipegang oleh Tentera Darat.
Majlis seumpama ini memperkukuh hubungan erat antara rakyat dan institusi ketenteraan. Ia menjadi medan untuk menyemai semangat kebersamaan, saling menghormati dan meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan sebenar negara. Sambutan Pesta Kaamatan ini membuktikan komitmen Tentera Darat dalam mendukung aspirasi perpaduan nasional sebagai Angkatan Masa Hadapan.