
Pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2025, Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak melepaskan peluang untuk mempamerkan hasil projek Kumpulan Inovasi dan Kreativiti (KIK) TDM yang diketuai oleh Pengarah Strategik dan Inovasi Tentera Darat, Kolonel Ir. Ts. Dr. Mohd Ghazali bin Abdul Rahman iaitu Dron First Person View (FPV) RPG-7 yang diberi nama Army Kamikaze Dron.
Dron ini direka untuk membawa kepala peledak RPG yang dipasang pada dron, membolehkannya terbang secara autonomi atau dikawal dari jauh untuk menyerang sasaran dengan tepat. Aspek paling menarik tentang projek ini adalah gabungan antara pelancar roket RPG-7 yang merupakan senjata ikonik dalam inventori TD dan dron FPV.
Gabungan kedua-dua elemen ini menghasilkan sistem serangan yang lebih fleksibel dan berkesan. Ianya turut mencerminkan warga TD mengambil langkah proaktif kepada arus perkembangan konflik global menggunakan teknologi terkini.
Penglibatan dron FPV RPG-7 dalam LIMA’25 ini menandakan satu langkah penting dalam transformasi TDM ke arah penggunaan teknologi tinggi dalam operasi ketenteraan. Dengan menggabungkan kepakaran tempatan dan inovasi teknologi, TDM menunjukkan komitmennya untuk terus maju dałam menghadapi cabaran peperangan moden.

