E-PERKASA SPM: USAHA BERTERUSAN TDM PERKASA PENDIDIKAN ANAK-ANAK TENTERA DARAT

E PERKASA SPM 2025 2

Majlis Penyampaian Peranti Program E-PERKASA SPM 2025 bagi Zon Tengah telah diadakan pada 4 Mei 25 di Auditorium PAT, Perpustakaan KEMENTAH, Kuala Lumpur. Penyampaian Peranti telah disempurnakan oleh YBhg Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, Puan Sri To’ Puan Seri Hartiah binti Hamzah. Program ini merupakan usaha berterusan ATM dengan kerjasama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam memastikan kesejahteraan pendidikan warga tentera terus diperkasa melalui penyediaan kemudahan teknologi.

Program E-PERKASA SPM melibatkan anak-anak ATM yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun 2025 di sekolah menengah harian bantuan penuh kerajaan selain Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Dalam Kem dan Kolej Vokasional. Anak-anak ATM ini diberikan tuisyen secara percuma menggunakan platform atas talian bagi subjek teras Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah. Peranti siswa berupa sebuah komputer riba diberikan sebagai kemudahan untuk anak-anak mengikuti kelas tuisyen ini bersama guru pakar berpengalaman yang dilantik oleh pihak UPSI.

Seramai 652 calon SPM telah mendaftar bagi mengikuti program ini di mana 407 calon daripadanya merupakan anak-anak TD. Bagi Zon Tengah, seramai 42 orang calon daripada 51 orang penerima dalam kalangan anak-anak TD telah hadir dalam majlis ini.

YBhg Pengerusi Jemaah BAKAT Darat dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada pihak YLTAT, UPSI, Jab Pendidikan dan Sel Pendidikan MK TD atas komitmen untuk membantu meningkatkan kecemerlangan akademik anak-anak ATM amnya dan TD khasnya. Beliau juga berharap anak-anak warga TD memanfaatkan sebaiknya kemudahan pendidikan yang disediakan ini dan berusaha dengan tekun untuk meraih kejayaan cemerlang dalam SPM sebagai jaminan masa depan yang cerah melalui pendidikan berkualiti.

#TenteraDaratMalaysia

#GagahSetia

#HTD92

#AngkatanMasaHadapan

#DutyHonourSacrifice