
Dalam usaha menyantuni keluarga anggota tentera yang sedang berkhidmat, satu perjumpaan dan lawatan kebajikan penuh bermakna telah diadakan di Dewan Serigala, Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja, Ulu Tiram, Johor.
Program ini disempurnakan oleh Panglimat Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Hafizuddeain bin Jantan bersama Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, Puan Sri To' Puan Seri Hartiah binti Hamzah, yang hadir untuk menyantuni isteri dan anak-anak warga MALBATT 850-12 yang ketika ini bertugas di Lubnan di bawah Misi Keamanan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Program ini turut disertakan dengan sesi persidangan video secara langsung bersama pegawai dan anggota MALBATT 850-12 di Lubnan. Sesi interaksi ini memberi peluang kepada ahli keluarga serta warga BAKAT untuk berhubung secara maya dengan insan tersayang, mencetuskan suasana penuh emosi yang memperkukuh ikatan kekeluargaan dan sokongan moral dalam komuniti pertahanan negara.
Sebagai simbol keperihatinan dan sokongan berterusan, sebanyak 10 sumbangan kebajikan telah disampaikan kepada penerima terpilih, melibatkan empat isteri ahli BAKAT dan enam kanak-kanak yang menghidapi penyakit kronik. Selain itu, beberapa keluarga anggota yang sedang berkhidmat di bawah misi MALBATT turut menerima sumbangan Kota Rezeki, satu inisiatif murni yang bertujuan meringankan beban serta menyampaikan tanda ingatan kepada mereka yang berjasa di perbatasan.

