GAGAH DI ANGKASA: PERBARISAN HUT PTD KE-30

HUTPUTD2025 2

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, mengucapkan selamat Hari Ulang Tahun ke-30 kepada Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD). Perbarisan sambutan HUT pada kali ini diadakan di Padang Kawad Dispersal Area, Rejimen 881 PUTD, Kem Mahkota, Kluang pada 11 Mac 2025.

Seramai 12 pegawai dan 134 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari Rej 881 PUTD, Tim Nukleus Rej 882 PUTD dan Rej 883 PUTD Ad Hoc terlibat dalam perbarisan pada kali ini yang diketuai oleh Mej Mohd Aizat Hazwan Nor Azman.

Seterusnya, acara diteruskan dengan Pemakaian Pangkat kepada 13 anggota LLP serta penyampaian Anugerah Kecemerlangan kepada tiga individu yang telah mengharumkan nama pasukan turut dilaksanakan.

Antaranya adalah Koperal Radiah Yahya yang meraih pingat emas individu serta pingat emas keseluruhan acara Rifle Wanita dalam Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKMTD) 2023, manakala Koperal Razmi Aziz dinobatkan sebagai johan Badminton Perseorangan Peringkat TD 2024, dan Koperal Muhammad Fazlina Muhammad Lutpi meraih naib johan dalam Kejohanan Pingpong Antara Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2024.

Sambutan ini bukan sahaja menjadi platform untuk menghargai pencapaian cemerlang anggota, tetapi juga sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmen tinggi Pasukan Udara Tentera Darat dalam memastikan kesiapsiagaan dan kejayaan pasukan. Semoga semangat juang dan kecemerlangan yang ditunjukkan oleh anggota PUTD terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga Tentera Darat Malaysia.

#TenteraDaratMalaysia#GagahSetia#HTD92#AngkatanMasaHadapan#PUTD30