
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan mengiringi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar dalam lawatan kerja ke kawasan operasi dan Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Formasi 2 Divisyen di Kem Gubir serta Sempadan Terkordinasi (PST) Ban Di Da, Kedah pada hari ini.
Lawatan ini bertujuan untuk menyantuni pegawai dan anggota yang sedang bertugas di kawasan operasi sekaligus memberikan penghargaan atas dedikasi warga TDM dalam menjalankan tugas yang penuh cabaran. Selain itu, PTD dan PAT turut menyampaikan kotak sumbangan kepada Pegawai Memerintah Batalion Ke Empat Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (Mek), Leftenan Kolonel Azllan bin Zainul Abidin.
Selesai lawatan di Kem Gubir, turut diadakan lawatan ke kawasan sempadan Malaysia-Thailand untuk meninjau situasi terkini di PST Ban Di Da. Lawatan tersebut disambut mesra oleh Commanding General 4th Army Area, Royal Thai Army (RTA), Leftenan Jeneral Phaisan Nusang, bersama Ketua Penempatan Pos dari pasukan 14 RAMD (Mek), Mejar Mohd Aiman bin Mohd Halim.
Melalui lawatan ini, bukan sahaja hubungan kerjasama antara Malaysia dan Thailand terus terjalin erat, malah ia juga memberi penghargaan dan sokongan moral kepada semua pegawai dan anggota yang berada di persempadanan negara. Semoga usaha ini terus memperkukuhkan lagi keupayaan Tentera Darat Malaysia dalam menjaga keamanan negara.

