Image
PEGAWAI WARAN I MOHAMAD FAUZI BIN A. RAHMAN

Beliau dilahirkan pada 4 Oktober 1984 di Batu Pahat, Johor. Mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pintas Pudding, Batu Pahat, Johor. Pada tahun 1991 beliau telah melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ismail, Parit Raja, Johor. Mula menceburi Perkhidmatan Tentera Darat pada 29 Disember 2002 dan menjalani latihan asas ketenteraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson, Negeri Sembilan selama 6 bulan. Pada 24 Disember 2002 beliau telah ditempatkan di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Disepanjang perkhidmatan, beliau telah menunjukkan sikap dedikasi dan ketekunan kerja yang tinggi serta berusaha dengan gigih untuk meningkat maju dalam kerjaya ketenteraan. Hasil daripada kesungguhan dan dedikasi yang telah dipamerkan dalam tempoh 22 tahun perkhidmatan, beliau telah berjaya menyandang jawatan sebagai Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat yang Ke-10.

Pegawai Waran I Mohamad Fauzi Bin A. Rahman juga telah memegang beberapa Jawatan lain sepanjang tempoh perkhidmatan, diantaranya adalah Anggota Repalman, Penolong Ketua Seksyen, Ketua Seksyen, Penolong Ketua Platun dan Kompeni Sarjan Mejar di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja. Pada 29 November 2018 beliau telah dinaikkan pangkat ke Pegawai Waran I dan mengisi perjawatan Sarjan Mejar Rejimen di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja mulai 29 November 2018 hingga 24 Januari 2021. Selain daripada itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Sarjan Mejar Rejimen Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat mulai 25 Januari 2021 hingga 8 November 2023 dan Sarjan Mejar Rejimen Istiadat Tentera Darat pada 9 November 2023 hingga 1 April 2024. Pada tanggal 2 April 2024, beliau telah diberi kepercayaan dan mandat oleh pucuk pimpinan tertinggi Tentera Darat untuk menjawat jawatan sebagai Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat yang Ke-10.

Kursus-kursus kerjaya dan kepakaran yang telah dihadiri beliau di sepanjang Perkhidmatan adalah Kursus Kadar di 1 RAMD, Asas Tempur Tanpa Senjata di 1 RAMD, Kombat Medik di 1 BN UBAT, Ketua Seksyen di PULADA, Penolong Ketua Platun di PULADA, Operasi Hutan di PULADA, Pegawai Tidak Tauliah Rendah di 23 RAMD, Pegawai Waran di IPDA dan Sarjan Mejar Rejimen Intermediate Australian English Language Course (PIAELC) di Kolej PTT Defence International Training Centre (DITCH). Semua kursus-kursus yang dihadirinya memperolehi keputusan yang cemerlang dan membanggakan.

Pada 22 Feb 2013 beliau telah mendirikan rumah tangga bersama Puan Nurhidaya Binti Abd Aziz. Beliau juga memanfaatkan masa lapang beliau dengan aktiviti kerohanian disamping beriadah bersama keluarga dan beliau adalah seorang yang peramah serta amat disegani oleh rakan-rakan.

Di dalam jawatan ini, beliau bertindak sebagai Penasihat kepada Panglima Tentera Darat di atas segala arahan dan polisi yang wujud ataupun cadangan yang melibatkan peraturan perkhidmatan anggota lain-lain pangkat. Beliau juga bertindak sebagai penasihat kepada susunan acara Istiadat Perbarisan Rasmi Tentera Darat seperti penganugerahan, pertukaran dan mengarak panji-panji, Perbarisan Pertauliahan Diraja Pegawai-Pegawai Kadet, Istiadat Pengkebumian dan Perbarisan Hari Kebangsaan. Sebagai Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat, beliau juga bertanggungjawab sebagai penasihat dan penyelaras dalam semua perbarisan di semua Formasi, Pusat Latihan dan Pasukan di bawah naungan Tentera Darat.