
JENERAL TAN SRI AZHAN BIN HJ MD OTHMAN
PSM PSAT DPKK PAT JMN KAT AMK PJM PNBB (Lebanon) Dip Strategic & Defence Studies (UM) Fellow Scholar (NDUM) nrc edg (France) lmt
Jeneral Tan Sri Azhan bin Hj Md Othman dilahirkan di Muar, Johor pada tanggal 4 September 1969. Beliau mula menceburi bidang ketenteraan dengan mengikuti Latihan Pegawai Kadet di Sungai Besi pada 25 Ogos 1987 selepas menamatkan pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja pada tahun 1986. Beliau telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 29 Julai 1989 dan memulakan perkhidmatannya sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja.
Sepanjang perkhidmatan, Jeneral Tan Sri Azhan bin Hj Md Othman telah diberi kepercayaan untuk memegang pelbagai jawatan penting di peringkat Tentera Darat mahupun Angkatan Tentera Malaysia. Pelbagai pengalaman dan pengetahuan yang diraih oleh beliau sebagai pemerintah, staf dan jurulatih telah membentuk kemahiran kepimpinan serta menyuburkan profesionalisme ketenteraan. Kewibawaan beliau sebagai pemimpin berkaliber telah dipamerkan apabila beliau dilantik sebagai Pegawai Memerintah Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja, Komander Batalion Siap Sedia Tentera Darat, Komander MALBATT 850-6 dan Panglima Ke-2 Divisyen Infantri Malaysia.
Beliau juga berpengalaman memegang pelbagai penugasan pegawai staf. Antara jawatan utama yang pernah disandang ialah Pengarah Rancang dan Pembangunan di Bahagian Pasukan Simpanan sebelum dilantik sebagai Asisten Panglima. Beliau juga turut menyandang sebagai Ketua Pengarah Perancangan di Cawangan Perancangan dan Pembangunan, Asisten Ketua Staf di Cawangan Sumber Manusia, Asisten Ketua Staf di Cawangan Operasi dan Latihan sebelum dilantik sebagai Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia pada 4 Februari 2025. Beliau juga mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam aspek latihan ketenteraan apabila pernah bertugas sebagai Jurulatih di Akademi Tentera Malaysia dan sebagai Juruarah di Maktab Turus Angkatan Tentera.
Dari aspek akademik dan kursus ketenteraan, Jeneral Tan Sri Azhan bin Hj Md Othman telah menghadiri pelbagai kursus dan pengajian di dalam serta di luar negara. Antara kursus dan pengajian utama yang telah dihadiri beliau ialah Diploma Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya, French Joint Defence College - War College (Ecole de Guerre) di France Military Academy dan kursus kerjaya terakhir beliau adalah Kursus Ketahanan Nasional di Maktab Ketahanan Nasional. Sebagai pengiktirafan terhadap khidmat bakti dan jasa yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan, beliau telah diperkenan bagi menerima darjah kebesaran dan pingat iaitu Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) dan Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Dato’ Paduka) bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) dengan membawa gelaran Dato'. Terkini, Jeneral Tan Sri Azhan bin Hj Md Othman telah dianugerahkan Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) yang membawa Tan Sri sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
Berdasarkan sorotan perkhidmatan yang cemerlang, komitmen dan dedikasi yang tinggi kepada perkhidmatan, serta pengetahuan dan pengalaman yang luas, Jeneral Tan Sri Azhan bin Hj Md Othman telah diberi kepercayaan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong serta barisan kepimpinan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia untuk memegang jawatan Panglima Tentera Darat Ke-31 pada 1 Januari 2026.
Jeneral Tan Sri Azhan bin Hj Md Othman telah mendirikan rumahtangga bersama pilihan hatinya, Puan Sri Noor Ainy binti Hj Mohd Ali PKT dan dikurniakan dengan sepasang cahaya mata. Beliau merupakan seorang yang gemar membaca buku-buku ilmiah dan bersukan pada masa lapang.

