
LEFTENAN JENERAL DATO' MOHAMAD SURIA BIN MOHAMAD SAAD
PSAT DMIJ PAT KAT AMK tjcsc psc 'j'
Leftenan Jeneral Dato’ Mohamad Suria bin Mohamad Saad dilahirkan pada 6 Februari 1975 di Batu Pahat, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan LKTP Felda Kledang sebelum meneruskan pengajian menengah di Sekolah Menengah Adela, Kota Tinggi. Kerjaya beliau dalam Angkatan Tentera Malaysia bermula sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD), Kem Sungai Besi pada 30 Jun 1993. Beliau kemudiannya terpilih untuk menjalani latihan Pegawai Kadet di Royal Military College (RMC) Duntroon, Canberra, Australia pada Julai 1994 sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 12 Disember 1995.
Sepanjang perkhidmatan, beliau telah diberi kepercayaan untuk menggalas pelbagai portfolio penting di peringkat Tentera Darat (TD) mahupun peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai Pemerintah, Pegawai Staf dan Jurulatih. Kitaran kerjaya beliau bermula sebagai Ketua Platun di 16 RAMD (12 Disember 1995 - 14 Januari 1998) diikuti juruiring (ADC) kepada Panglima 1 Divisyen (15 Januari 1998 - 31 Disember 1998), Juruiring kepada Timbalan Panglima Tentera Darat (1 Januari 1999 - 17 September 1999) dan Juruiring kepada Ketua Staf Markas ATM (18 September 1999 - 30 November 2000). Seterusnya, beliau memegang jawatan Penolong Ketua Cawangan Graduan di Kolej Tentera Darat (1 Disember 2000 - 30 November 2002) dan Pegawai Staf 2 Anggota di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (1 Disember 2002 - 5 Januari 2003).
Atas kecemerlangan yang dipamerkan, beliau telah terpilih sebagai Jurulatih di Sekolah Pegawai Kadet Waiouru, New Zealand (6 Januari 2003 - 20 Disember 2004). Sekembalinya ke tanah air, beliau menjawat jawatan Ketua Kompeni di 12 RAMD (Mekanize) (21 Disember 2004 - 3 Jun 2007), Juruarah di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) (4 Jun 2007 - 31 Oktober 2010) dan Penolong Pegawai Memerintah 12 RAMD (Mekanize) (1 November 2010 - 24 Julai 2011). Jawatan kepimpinan kanan beliau merangkumi Pegawai Memerintah 19 RAMD (Mekanize) (25 Julai 2011 - 31 Julai 2013), Ketua Staf Markas Briged Keempat (Mekanize) (1 Ogos 2013 - 12 September 2014), serta Pegawai Staf Khas kepada Panglima Angkatan Tentera (6 Februari 2015 - 3 April 2016).
Di peringkat antarabangsa, beliau pernah berkhidmat sebagai Penasihat Pertahanan di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York (4 April 2016 - 14 Oktober 2021). Sebelum dilantik ke jawatan sekarang, beliau merupakan Panglima Briged Ketujuh Infantri Ke-25 (2 November 2021 - 3 Februari 2025) dan Panglima Divisyen Ketiga Infantri Ke-28 (4 Februari 2025 - 27 Januari 2026). Beliau secara rasmi memulakan tugas sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat pada 28 Januari 2026.
Dalam memperkasakan tahap profesionalisme dan pengetahuan, belliau telah mengikuti pelbagai kursus serta pengajian di dalam dan luar negara. Antara kelayakan akademik utama yang diperoleh termasuklah Diploma of Personnel Administration (1995), Diploma of Strategic Defence Studies (2009) di Australia dan Diploma of Strategic Studies di Turkiye (2015).
Sebagai pengiktirafan terhadap khidmat bakti dan kesetiaan yang dicurahkan kepada negara, beliau telah dikurniakan beberapa Darjah Kebesaran dan Pingat, antaranya adalah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) dan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua, Dato' Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran Dato'. Selain itu, beliau turut dianugerahkan Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan Ahli Mahkota Kedah (AMK). Pada masa lapang, beliau aktif meluangkan masa dengan bersukan, melancong dan menonton filem.

