SPBYDPA TELAH BERKENAN MENERIMA MENGHADAP PTD

KUALA LUMPUR, 19 Jun 2020 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan menerima menghadap Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain di Istana Negara hari ini.

Baginda berkenan meluangkan masa bersama PTD selama 45 minit bagi berkongsi idea dan pandangan berkenaan organisasi Tentera Darat Malaysia (TDM).

Majlis menghadap ini adalah bersempena dengan pelantikan PTD sebagai peneraju TDM Ke-28 pada 11 Jun 2020 yang lalu daripada Jeneral Tan Sri Dato Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi.

PTD turut mempersembahkan cenderahati kepada Seri Paduka Baginda Tuanku.

Menjunjung Kasih Tuanku,
Daulat Tuanku.