PEMBUKAAN UJIAN KEMAHIRAN MERENTAS HALANGAN DAN KAWAD (UKMHK) TENTERA DARAT TAHUN 2024
SUNGAI BESI, 17 Okt 24 - Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim telah menyempurnakan Pembukaan Ujian Kemahiran Merentas Halangan dan Kawad Peringkat Tentera Darat (UKMHK TD) Tahun 2024 di Dataran PTD, Kem Perdana Sungai Besi pada hari ini.
Perbarisan Pembukaan melibatkan formasi-formasi dalam Tentera Darat yang menggabungkan elemen Tempur, Bantuan Tempur, Bantuan Khidmat dan Wanita Tentera Darat terdiri daripada 45 Pegawai dan 900 Anggota Lain-Lain Pangkat yang diketuai oleh Timbalan Komander Rejimen 502 AW, Leftenan Kolonel Afzanizan bin Ismail.
UKMHK TD yang dianjurkan akan berlangsung pada 17 Oktober 2024 sehingga 28 Oktober 2024.Pertandingan ini terbahagi kepada dua fasa. Fasa pertama merupakan ujian kawad yang melibatkan lima peringkat iaitu Pemeriksaan Pakaian dan Senjata, Kawad Kaki, Kawad Senjata, Berjalan Lalu, Mara Mengadap dan Gempur Wira serta Pemeriksaan Akhir. Bagi fasa kedua adalah ujian Merentas Halangan dan Menembak melibatkan empat peringkat iaitu Pemeriksaan Awal, Larian dan Merentas Halangan, Ujian Menembak dan Pemeriksaan Akhir.
Pertandingan ini bertujuan menguji daya ketahanan mental, fizikal, dan keyakinan diri setiap anggota dalam pasukan, serta membentuk semangat kerjasama untuk menghadapi cabaran dan halangan yang dihadapi.
Dalam ucapan TPTD, beliau menegaskan bahawa acara ini bukan sekadar platform untuk menguji keupayaan fizikal, malah turut menjadi medan pengukur kekuatan mental, emosi, serta kepimpinan setiap ketua Tim.
Selamat Maju Jaya kepada seluruh formasi yang mengambil bahagian dalam Ujian Kemahiran Merentas Halangan dan Kawad Tentera Darat Tahun 2024.
Turut hadir adalah Ketua Staf Tentera Darat (KSTD), Leftenan Jeneral Dato’ Zaidan bin Atan, Pegawai-pegawai Kanan TD serta Pegawai dan Anggota TD.
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia
#UKMHKTD24