KONVENSYEN KIK TD DAN KARNIVAL PENDIDIKAN KERJAYA UPM TAHUN 2024 MELABUHKAN TIRAI

SERDANG, 23 NOV 24 - Bahagian Inspektorat Tentera Darat (BITD) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Tentera Darat dan Karnival Pendidikan Kerjaya Universiti Putra Malaysia (UPM) Tahun 2024 bertempat di Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM, Serdang pada hari ini.
Konvensyen KIK TD yang berlangsung selama dua hari bermula 20 hingga 21 November 2024 yang telah dirasmikan oleh Inspektor Jeneral Tentera Darat (IJTD), Mejar Jeneral Dato Hassan bin Embong. Konvensyen KIK TD merupakan sebuah platform penting untuk berkongsi idea, inovasi, serta pengalaman dalam perlaksanaan kreativiti di kalangan warga Tentera Darat dan UPM. Aktiviti ini bukan sahaja memberikan ruang untuk memperkenalkan dan membincangkan pelbagai inisiatif kreatif, tetapi juga bertujuan untuk memupuk semangat inovasi di kalangan warga TD dan UPM. Dengan membina jaringan yang lebih kukuh, konvensyen ini diharap dapat meningkatkan kerjasama antara peringkat dan mendorong pencapaian yang lebih cemerlang dalam setiap aspek operasi dan pembangunan Tentera Darat.
Tentera Darat Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat serta mengalu-alukan warga Tentera Darat untuk meneruskan usaha dalam menonjolkan inovasi yang lebih cemerlang di masa akan datang.
Turut hadir adalah Pengarah Strategik dan Inovasi Tentera Darat, Kolonel Ir. Ts. Dr. Mohd Ghazali Abdul Rahman; Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Nor Azni Abdul Aziz; Profesor Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia Selaku Ketua Panel Projek Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (Kik) Tentera Darat, Profesor Teknologis Dr Rosnah Shamsudin, Ketua Pusat Pengajian Pengurusan dan Kepemimpinan, Institut Tadbiran Awam (INTAN) selaku Ketua Panel VIVA KIK TD, Dr Norashikin binti Sheikh Ibrahim; Pegawai-pegawai kanan TDM, Panel-panel Penilai KIK dan Peserta VIVA KIK.

