TDM-TDDB MEMPERKUKUHKAN KERJASAMA PERTAHANAN MELALUI LAWATAN KERJA RASMI PANGLIMA TENTERA DARAT KE BRUNAI
BRUNEI DARUSSALAM, 22 September 2026 – Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Azhan bin Haji Md Othman telah melaksanakan kunjungan hormat kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Aldi bin Haji Hassan bertempat di Negara Brunei Darussalam.
Kunjungan tersebut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan pertahanan yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam, khususnya hubungan erat antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).
Kerjasama dua hala turut diperkukuh melalui pelaksanaan Eksesais BRUMAL SETIA Siri 18/2026 dan Eksesais MERTAK BERSATU Siri 16/2026 yang berlangsung dari 14 hingga 24 September 2026. Eksesais bilateral ini bertujuan meningkatkan interoperabiliti serta memperkasa keupayaan operasi kedua-dua angkatan melalui latihan dan perkongsian pengalaman secara bersama.
Kemuncak pelaksanaan eksesais telah diakhiri dengan Majlis Penutup Eksesais BRUMAL SETIA Siri 18/2026 dan Eksesais MERTAK BERSATU Siri 16/2026, yang dihadiri oleh PTD. Majlis turut menyaksikan Upacara Menandatangani Terms of Reference (ToR) yang diperbaharui, melambangkan komitmen berterusan TDM dan TDDB dalam memperkukuh kerjasama ketenteraan kedua-dua negara.
Pelaksanaan kunjungan hormat, latihan bersama dan pemeteraian ToR ini mencerminkan hubungan pertahanan yang terus berkembang, di samping memperkukuh interoperabiliti, kesiapsiagaan dan persefahaman profesional antara TDM dan TDDB demi kepentingan pertahanan serta kestabilan serantau.
Kerjasama diperkasa, interoperabiliti ditingkatkan, kesiapsiagaan bersama terus diperkukuh.
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia
#KemahuanUntukMenang