UKMTD 2026 MELABUHKAN TIRAI: TRUP 1 UNGGUL KEJUARAAN KESELURUHAN,MUTAMADKAN SKUAD ELIT AARM 2026

MELAKA, 17 September 2026 – Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKMTD) Tahun 2026 secara rasminya melabuhkan tirai hari ini di Lapang Sasar 400 Meter Kem Terendak, sekali gus memperkasakan komitmen Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam memperkukuh kesiapsiagaan tempur dan penguasaan keupayaan taktikal Angkatan Masa Hadapan (AMH). Majlis penutup telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Azhan bin Hj Md Othman. Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Haji Malek Razak bin Sulaiman bersama Pegawai-pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi keselamatan jemputan mengambil bahagian dalam Acara Menembak Pistol Novelti Pegawai Kanan. Mula berlangsung pada 7 September 2026, UKMTD 2026 mempertaruhkan pelbagai disiplin merangkumi Menembak Pistol, Raifal Lelaki dan Wanita, Jatuh Piring, Tim Mesingan Kegunaan Am (GPMG), serta Tim Mesingan Ringan (LMG). Setiap disiplin direka khusus bagi menilai ketepatan, kendalian taktikal, ketahanan fizikal serta koordinasi anggota secara individu dan berpasukan. Dalam saingan sengit melibatkan 11 formasi TDM, Trup Tentera Darat (Trup TD) 1 diwakili 10 Briged (Para) muncul Juara Keseluruhan UKMTD 2026 selepas menguasai kategori Unit Besar, Unit Kecil dan Antara Formasi. Penguasaan ini dilengkapkan dengan penobatan Leftenan Ahmad Khusyairi bin Abdul Razak dari Trup TD 1 sebagai Jaguh Menembak UKMTD 2026. Selain bertindak sebagai kayu ukur standard menembak TDM, penganjuran kejohanan ini merupakan saringan muktamad bagi membentuk barisan penembak elit TDM. Skuad terpilih ini akan menggalas cabaran negara dalam kejohanan antarabangsa ASEAN Armies Rifle Meet (AARM) 2026 yang bakal menyaksikan Malaysia bertindak sebagai penganjur dan tuan rumah. Pelaksanaan UKMTD 2026 turut mencerminkan interoperabiliti dan hubungan inter-agensi yang kukuh melalui penyertaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM - Unit Tindakan Khas), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Johor Military Force (JMF) dan Jabatan Penjara Malaysia. Turut hadir menyerikan majlis ialah Panglima Tentera Udara - Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Norazlan bin Aris TUDM, Ketua Staf ATM - Leftenan Jeneral Dato' Seri Hj Muhammad Huzaimi bin Sabri, Panglima Medan Barat Tentera Darat - Leftenan Jeneral Dato' Khairul Azmizal bin Ahmad Natal, Panglima Medan Timur Tentera Darat - Leftenan Jeneral Dato' Mohd Sofi bin Md Lepi, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan - Leftenan Jeneral Dato' (Dr) Zulkeffeli bin Mat Jusoh, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) selaku penganjur - Mejar Jeneral Datuk Haji Sani bin S Omar serta pegawai-pegawai kanan ATM dan perwakilan agensi keselamatan. #TenteraDaratMalaysia #GagahSetia #AngkatanMasaHadapan #KemahuanUntukMenang