SINERGI DUA KEMENTERIAN: TDN-KPT METERAI KERJASAMA STRATEGIK MEMPERKASAKAN ASKAR WATANIAH DI PERSADA IPT
ARAU, 3 September 2026 β Usaha memperkasakan penglibatan mahasiswa dalam Pasukan Simpanan melakar satu lagi pencapaian penting menerusi Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini.
Majlis menandatangani dokumen strategik ini telah disempurnakan oleh Jeneral Tan Sri Azhan bin Hj Md Othman, Panglima Tentera Darat bersama Kepten (K) Datuk Prof. Dr. Azlinda binti Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi. Acara bersejarah ini disaksikan dengan penuh bermakna oleh YB Datoβ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan bersempena Program Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan Bersama Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam Tahun 2026.
Pemeteraian Nota Kerjasama ini bertindak sebagai asas kolaborasi komprehensif antara TDM dan JPT dalam memartabatkan pelaksanaan Program Askar Wataniah (AW) di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT). Kerjasama ini dirangka bagi memastikan penyertaan penuntut universiti dalam ketenteraan sukarela memberi impak berganda kepada keselamatan negara dan pembangunan sahsiah mahasiswa.
Antara skop dan teras utama pelaksanaan kerjasama strategik ini merangkumi Pengiktirafan Akademik & Kokurikulum, Pembangunan Modal Insan, Sinergi Latihan & Fasiliti dan Pengurusan & Struktur.
Kerjasama bersejarah ini membuktikan komitmen jitu Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam melahirkan graduan universiti yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki jati diri yang kental dan bersedia mendokong kedaulatan pertiwi.
Sumber artikel: MK TD - G8 (Bahagian Pasukan Simpanan)
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia
#KemahuanUntukMenang