
Alunan doa dan bacaan ayat suci menjadi saksi kepada penutup Program Kasih Bertaut di Pintu Hidayah Peringkat BAKAT Darat Tahun 2025 yang berlangsung penuh khusyuk dan meriah pada 4 September 2025 bertempat di Ballroom Tun Sakaran, Hotel Raia Kota Kinabalu, Sabah. Majlis yang turut mendapat tajaan daripada Munawareen ini menghimpunkan para peserta, fasilitator serta warga BAKAT Darat dengan satu tujuan murni – memperkukuh ukhuwah serta menyemai kefahaman Islam yang sejati dalam kalangan keluarga Tentera Darat.
Antara pengisian utama program ialah sesi ceramah bertajuk “Keluarga Mawaddah” yang disampaikan oleh Ustazah Dato’ Dr. Norhafizah binti Haji Musa, tokoh ilmuwan agama yang cukup disegani dalam masyarakat. Dengan gaya penyampaian yang lembut tetapi penuh hikmah, beliau menitipkan pesan tentang kepentingan membina keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah sebagai benteng kebahagiaan menuju syurga. Kehadiran beliau yang diundang khas melalui kerjasama Munawareen telah memberikan nilai tambah besar kepada program kali ini.
Kemuncak acara menyaksikan Puan Sri Datin Sri Hajah Hartiah binti Hamzah, Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, menyempurnakan penutupan rasmi program melalui gimik perasmian yang diiringi Timbalan Pengerusi, Naib Pengerusi serta Pengerusi BAKAT Formasi. Peserta dari lapan formasi turut mengambil bahagian, merangkumi gabungan PMTTD, 3 Briged, 9 Briged, 31 Briged, Trup 1 Divisyen, 5 Briged, 13 Briged serta Trup 5 Divisyen. Dalam ucapan penutupnya, Puan Sri Hajah Hartiah menekankan bahawa pengisian program ini bukan sekadar ilmu, tetapi menjadi bekalan rohani untuk memperteguh iman, ihsan dan jati diri. Majlis penuh bermakna ini kemudian ditutup dengan doa serta sesi bergambar sebelum hadirin dijemput ke jamuan mesra, menandakan berakhirnya sebuah program bersejarah yang bakal terus terpahat dalam kenangan.
#PengorbananTidakBertepiNyawaSebagaiTaruhan
#KedaulatanNegaraTanggungjawabBersama
#AngkatanMasaHadapanBentengPertahananNegara

