SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-67

31 Ogos 24 - Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan detik bersejarah buat negara Malaysia. Pada tarikh inilah, laungan “Merdeka!” bergema di Stadium Merdeka, menandakan berakhirnya era penjajahan dan bermulanya satu era baharu iaitu era kemerdekaan dan kedaulatan. Kini, setelah 67 tahun merdeka, sambutan hari bersejarah ini terus menjadi simbol perpaduan, kebanggaan dan harapan seluruh rakyat Malaysia.
 
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah telah bercemar duli menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di Dataran Putrajaya hari ini.
 
Ketibaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong disambut dengan penuh hormat oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim. Baginda kemudiannya memberikan tabik hormat kepada Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang terdiri daripada 4 pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP), diketuai oleh Mejar Muhammad Fikri bin Senan. Upacara tersebut turut diiringi oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PP RAMD).
 
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dan isteri, Puan Sri Datin Wira Hartiah binti Hamzah serta barisan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut hadir menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 dimeriahkan dengan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta daripada 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam serta 439 aset ketenteraan. Penglibatan Tentera Darat Malaysia (TDM) tahun ini merangkumi perarakan anggota dan aset pasukan khas, kontinjen hybrid yang terdiri daripada Elemen Tempur, Bantuan Tempur, Bantuan Khidmat, serta Kontinjen Gabungan Wanita ATM.
 
TDM juga menarik perhatian dengan persembahan demonstrasi seni mempertahankan diri Tempur Tanpa Senjata (TTS) melibatkan seramai 250 anggota Kor Polis Tentera Diraja (KPTD).
 
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia