LAWATAN MENTERI KANAN PERTAHANAN KE KELANTAN DI KAWASAN OPERASI MURNI

KELANTAN, 10 Januari 2021 – Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain turut ‘turun padang’ mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob bagi meninjau pelaksanaan Op MURNI di negeri Kelantan. Lawatan dimulakan dengan mengunjungi Markas Briged Kelapan Infantri (8 Bgd), Kem Pengkalan Chepa, Kelantan.
 
Ketibaan delegasi Menteri Kanan Pertahanan telah disambut oleh Panglima 8 Bgd, Brigedier Jeneral Zamsari bin Abu Hasan dan seterusnya diberikan taklimat berkaitan pelaksanaan Op MURNI di dalam Kawasan Tanggungjawab (KTJ) 8 Bgd.
 
Aturcara lawatan Menteri Kanan Pertahanan kemudiannya diteruskan dengan Majlis Penyerahan Barang Bantuan Kepada Mangsa Banjir Negeri Kelantan yang diadakan di Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Kem Pengkalan Chepa. Dalam ucapan aluan, Panglima 8 Bgd mengalu-alukan kehadiran Menteri Kanan Pertahanan dan delegasi ke negeri Kelantan. Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas segala sumbangan yang dihulurkan dan diharapkan ia dapat memberikan manfaat kepada rakyat yang terjejas.
 
Dalam majlis tersebut, Menteri Kanan Pertahanan telah menyerahkan sumbangan kepada wakil pemimpin tempatan, Encik Akhbar bin Salim.
Secara amnya, sejumlah 13 jenis barangan keperluan asas antaranya selimut, tuala, dan kain pelikat/batik berjumlah kira-kira 4000 unit telah disumbangkan. Sumbangan yang dihulurkan ini bertujuan meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir di negeri Kelantan.
 
Di dalam Sidang Media, Menteri Kanan Pertahanan turut memaklumkan, sehingga kini Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 8 Bgd telah mengaturgerakkan keanggotaan dan aset bantuan ke 11 kawasan yang terjejas di Kelantan. Lawatan seterusnya adalah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang 2.
 
Tentera Darat Malaysia (TDM) akan sentiasa bersiap sedia dan memantau perkembangan banjir yang sedang melanda serta akan bekerjasama dengan agensi-agensi penyelamat di semua negeri di seluruh Malaysia.
Turut mengiringi lawatan tersebut adalah Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, YBhg Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz dan Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Ahmad.
 
#TenteraDaratMalaysia
#GagahSetia
#KementerianPertahananMalaysia
#AngkatanTenteraMalaysia