
KUALA LUMPUR, 6 September 2023 – Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat telah diadakan di Auditorium Wisma Pertahanan hari ini.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dinaikkan ke pangkat Jeneral dan menjawat jawatan Panglima Tentera Darat Ke-30.
Pemakaian pangkat tersebut disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan dan disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM.
Majlis disusuli dengan Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat di antara Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman dan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan yang mengambil alih Tampuk Pemerintahan Tentera Darat selaku Panglima Tentera Darat Ke-30 berkuatkuasa pada 6 September 2023.
Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman akan mengambil alih tugas dan tanggungjawab daripada Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM sebagai Panglima Angkatan Tentera Ke-22.
Menteri Pertahanan dalam ucapannya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan atas kenaikan pangkat dan pelantikan sebagai Panglima Tentera Darat yang baharu. Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Mantan Panglima Tentera Darat ke-29 atas jasa dan bakti kepada nusa dan bangsa selama berkhidmat.
Turut hadir menyaksikan adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Tuan Haji Adly bin Zahari, Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr. Shahrazat binti Haji Ahmad, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Panglima-Panglima Formasi, Para Pegawai Kanan Tentera Darat dan Warga Tentera Wisma Pertahanan.