WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia
 
KUALA LUMPUR, 5 September 2023 – Setelah hampir 6 bulan menerajui ketumbukan Tentera Darat Malaysia (TDM), Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman akan dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Ke-22 . Sebagai simbol penghargaan terima kasih warga Gagah Setia kepada PTD Ke-29, satu Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Ke-29 telah diadakan bertempat di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi hari ini.
 
Perbarisan terdiri daripada 12 Detasmen berkekuatan seramai 46 pegawai dan 1,110 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Azroi bin Ariffin Shah - Pegawai Memerintah Batalion Ke -23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dengan turut melibatkan 7 Panji – Panji Rejimen dan Kor di dalam Tentera Darat Malaysia iaitu Panji – Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Rejimen Semboyan Diraja, Rejimen Askar Jurutera Diraja, Rejimen Artileri Diraja dan Kor Perkhidmatan Diraja.
 
Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman telah ditauliahkan pada 1 Julai 1987 ke dalam Kor RAMD dan telah diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan pemerintah dan staf sepanjang perkhidmatan di dalam Angkatan Tentera Malaysia amnya dan TDM khasnya. Antara jawatan yang beliau sandang adalah Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Darat, Panglima Divisyen Ketiga Infantri, Panglima Latihan Tentera Darat, Panglima Medan Barat Tentera Darat dan Timbalan Panglima Tentera Darat Ke-25 sebelum dilantik sebagai PTD Ke-29 pada 22 Mac 2023.
 
Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman akan menyerahkan tugas Panglima Tentera Darat kepada Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan yang akan dilantik sebagai PTD Ke-30 pada 6 September 2023 sebelum mengambil alih tampuk kepimpinan ATM.
PTD dalam ucapannya berkata, perubahan pucuk pimpinan adalah suatu perkara yang lumrah dalam sesebuah organisasi. Perkara ini seharusnya berlaku dengan lancar tanpa membawa sebarang permasalahan yang boleh mengganggu gugat kestabilan organisasi yang disayangi ini dan menyeru kepada semua untuk merapatkan barisan, berkhidmat sebagai sebuah ketumbukan, dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada baris kepimpinan yang baharu nanti.
 
Acara diakhiri dengan Majlis Jamuan Makan Tengah Hari sempena Istiadat Perbarisan Penghargaan Tentera Darat kepada Panglima Tentera Darat di Dewan Dato’ Jamil Ahmad Kem Perdana Sungai Besi. Seluruh warga TDM mengucapkan sekalung Tahniah dan terima kasih kepada PTD Ke-29.
Turut hadir ke acara perbarisan ini adalah Timbalan Panglima Tentera Darat; Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Medan Barat Tentera Darat; Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim, Panglima Medan Timur Tentera Darat; Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi bin Md Lepi, Ketua Staf Tentera Darat; Leftenan Jeneral Dato' Zaidan bin Atan dan barisan Pegawai Kanan, pegawai-pegawai serta anggota LLP dari sekitar kawasan Lembah Klang.