WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia
 
KUALA LUMPUR, 8 Jul 23 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman dan isteri, Puan Sri Datin Seri Ramlah binti Dawi telah menghadiri Majlis Makan Malam Rejimental Sempena Sambutan Hari Tentera Darat Ke-90 di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi.
 
Majlis yang penuh istiadat ini diadakan untuk meraikan Hari Tentera Darat Malaysia (TDM) yang telah mencapai tahun ke -90 pada tahun ini. Istimewanya, majlis pada hari ini diserikan lagi dengan kehadiran mantan-mantan PTD yang telah banyak menabur jasa dan bakti demi menaikkan nama TDM.
 
PTD dalam ucapannya turut menyatakan agar seluruh warga TDM sentiasa peka dengan persekitaran semasa serta sentiasa tangkas dalam bertindak balas terhadap sebarang insiden yang berpotensi menjadi ancaman kepada negara. Selain itu, walaupun pucuk pimpinan tertinggi tentera darat sering silih berganti, namun matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara aman dan berdaulat tetap kekal dan diperteguhkan pada sebilang masa.
 
Turut hadir ke majlis ini adalah Mantan Panglima Tentera Darat Ke -10, Jeneral Tun (Dr) Mohd Hashim bin Mohd Ali, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Haji Ahmad, Mantan-mantan Panglima Tentera Darat dan Pegawai-Pegawai Kanan Tentera Darat serta Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat, Pegawai Waran Satu (PW I) Mohd Pauzi bin Mohd Ali.