WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia
 
NEGERI SEMBILAN : Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Sri Mohammad bin Ab Rahman telah menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Tentera Darat Siri 196/2022 yang berlangsung di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson pada 24 Jun 2023.
 
Seramai 2063 Perajurit Muda berjaya mengharungi Latihan Asas Ketenteraan di PUSASDA yang bermula sejak 31 Disember 2022 hingga 24 Jun 2023.
 
Kesemua Perajurit Muda ini telah menjalani Latihan Asas Ketenteraan meliputi aspek pembinaan karakter, pengetahuan am ketenteraan, pengendalian senjata, latihan jasmani dan kemahiran perang. Selain itu, mereka turut diberikan pendedahan di dalam aspek pengukuhan kerohanian dan moral.
 
​Perbarisan pada kali ini menyaksikan seramai 5 Perajurit Muda menerima Anugerah dan Piala Pusingan. Anugerah tersebut terdiri daripada Kategori Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik, Ketenteraan Terbaik, Kawad Terbaik, Akademi Terbaik dan Jasmani Terbaik sebagai pengiktirafan di atas pencapaian serta kecemerlangan yang dipamerkan sepanjang latihan.
 
Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 196/2022 menyaksikan Perajurit Muda Mohamad Azmi bin Osman muncul sebagai Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik. Acara perbarisan seperti ini selari dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-29 iaitu "Pengukuhan Organisasi dan Modal Insan" yang menekankan aspek memperkasakan Perwira dan Perajurit yang profesional melalui peningkatan keupayaan intektual serta kemahiran dan menepati kriteria karakter cergas, cekap dan cerdas serta menjadi contoh dalam memacu organisasi Tentera Darat yang mampan.
 
Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa mengalu-alukan penyertaan anak muda Malaysia dalam TDM tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang taraf pendidikan untuk menabur bakti dalam kerjaya tentera dengan syarat minima SPM iaitu lulus berkredit dalam mata pelajaran teras.
 
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Leftenan Jeneral Dato' Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim, Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi bin Md Lepi serta para pegawai kanan TDM.