Eksesais BILATERAL diantara Tentera Darat MALAYSIA (TDM) dan Tentera Darat Singapura (TDS) yang dikenali sebagai Eksesais Semangat Bersatu (XSB) Siri 27/2023 telah dilaksanakan dengan jayanya bermula pada 7 hingga 16 Mei 2023 di sekitar kawasan Kem Kranji, Singapura.
Acara Pembukaan telah dirasmikan oleh Jeneral Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Tentera Darat dan Mejar Jeneral David Neo, Chief of Army, Singapore Army pada 8 Mei 2023 manakala bagi acara penutup telah disempurnakan oleh Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Timbalan Panglima Tentera Darat dan Brigedier Jeneral Tan Cheng Kwee, Chief of Staf - General Staf TDS di Dataran Temasek, Kem Kranji pada 14 Mei 2023.
Mengimbas kembali sejarah pelaksanaan Eksesais Semangat Bersatu (XSB), ianya dianjurkan secara timbal balas setiap tahun di antara TDM & TDS semenjak tahun 1990. Penglibatan trup pada eksesais kali ini melibatkan Kompeni C, Batalion Ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6 RRD) mewakili TDM bersama-sama dengan 3rd Singapore Infantry Regiment (3 SIR) yang mewakili TDS.
Objektif yang ingin dicapai adalah bagi mengukuhkan kerjasama dan interoperability di antara kedua-dua Angkatan Tentera dalam apa jua bentuk spectrum peperangan demi kedaulatan di Asia Tenggara.
Kolaborasi dan pengukuhan perhubungan diantara TDM dan TDS ini bertepatan dan selari dengan Teras Ke-4 Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-29 iaitu Pengukuhan Hubungan Antarabangsa, melalui sinergi man, machine, method.