
KELANTAN, 22 April 2023 - Pagi 1 Syawal 1444H diraikan dengan penuh kemeriahan oleh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) yang berada di Kem 8 Briged, Pengkalan Chepa apabila berpeluang meraikan bersama Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman.
Jamuan Hari Raya Aidilfitri turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga warga 8 Briged. PTD turut meluangkan masa untuk menyampaikan duit raya kepada anak-anak yang hadir.
Sejuruh selepas selesai jamuan raya yang diadakan di Padang Kawad 8 Briged, PTD telah mengadakan lawatan ke pos-pos operasi Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Op MERPATI 8 Briged yang berada di Rantau Panjang dan Jeli.
Turut hadir mengiringi PTD adalah Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki bin Muhammad serta barisan Pegawai Kanan TDM.