
NEGERI SEMBILAN, 11 Mac 2023 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain telah menyempurnakan upacara Pembukaan Persembahan Tatu dan Karnival Hari Terbuka Tentera Darat bersempena Hari Tentera Darat Ke-90 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson.
Pada hari pembukaan ini dianggarkan seramai 20,000 pengunjung telah hadir memeriahkan Bandar Tentera Darat sejak dari awal pagi tadi.
Pada sebelah malamnya pula telah diadakan Persembahan Tatu yang cukup terkenal sebagai persembahan yang merangkumi variasi pertunjukkan aksi-aksi kemahiran dan kepakaran Tentera Darat secara berkumpulan dan seragam oleh anggota-anggota Tentera Darat yang melibatkan konsep marching seperti Pancaragam, Kawad Senyap, Tarian Perang, Kemahiran Tempur Tanpa Senjata, Kemahiran Menunggang Kuda dan Drumline.
Acara ini turut mempamerkan persembahan pasukan elit Para dan Komando, aset Tentera Darat seperti Anjing Perang dan kemahiran Army Red Warrior iaitu Tim Akrobatik Motosikal Tentera Darat yang mempamerkan pelbagai aksi-aksi stunt menarik dan kecekapan menunggang motosikal.
Istimewa pada tahun ini, Tim Akrobatik Motosikal ini akan mencipta rekod baru di dalam Malaysian Book of Record iaitu Most People Riding On A Motorcycle dan Longest Motorcycle Jump (Female) oleh Sarjan Saidatul Husna binti Kamaruddin.
Terdapat 3 hadiah Cabutan Bertuah Perdana bagi pengunjung yang hadir.
Turut hadir ke acara ini adalah Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hafizuddeain bin Jantan; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki bin Muhammad; Ketua Staf Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Mohd Sofi bin Md Lepi, Panglima-Panglima Formasi dan Para Pegawai Kanan Tentera Darat.
Lihat Galeri Gambar Disini