
KUALA LUMPUR, 1 Mac 2023 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain dan isteri, Puan Sri Datin Seri Zainuriah binti Haji Mustapha telah menghadiri Majlis Jamuan Sempena Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-90, usai acara Istiadat Perbarisan bersama para pegawai dan anggota perbarisan di Dewan Dato’ Jamil, Kem Perdana Sungai Besi hari ini.
Majlis dimulakan dengan menandatangani Memorendum Persefahaman di antara Tentera Darat Malaysia yang diwakili oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain dan MAWIP yang diwaliki oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Encik Mohd Nizam bin Yahya dalam menjalinkan kerjasama strategik perlaksanaan program-program bersama Tentera Darat.
Acara diteruskan dengan Pelancaran dan penyerahan karya Buku Biografi Edisi Kedua Panglima Tentera Darat Ke-23 hingga 28 bertajuk “Satu Pengabdian, Satu Pengorbanan dan Satu Perjuangan” kepada mantan-mantan Panglima Tentera Darat.
Penghasilan Buku Biografi ini adalah bertujuan bagi merakamkan penghargaan dan mengimbas kembali segala jasa serta pengorbanan mantan-mantan Pemimpin Tertinggi Tentera Darat di dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia amnya dan Tentera Darat khasnya. Malah, buku ini juga adalah sebagai dokumen rasmi untuk dijadikan panduan, rujukan serta sumber inspirasi kepada seluruh warga Tentera Darat dalam memastikan kesinambungan Pemerintahan Tertinggi Tentera Darat.
Turut diadakan adalah acara penyerahkan Buku ‘The Gunturions’ yang diilhamkan berdasarkan pengalaman Pegawai Muda atau Siswa dan Jurulatih Kursus Muslihat Asas Ketua Platun di Sekolah Tempur Pegawai Muda, Kem Paradise, Kota Belud, Sabah dari tahun 1981 hingga 1984. Sejurus selepas itu turut diadakan Penyampaian Sumbangan Dermasiswa Pendidikan Tentera Darat kepada anak-anak anggota Lain-Lain Pangkat yang sedang melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta bagi Tahun 2022/2023.
Acara diakhiri dengan Upacara Memotong Pulut Kuning Sempena Sambutan Hari Tentera Darat Ke-90.
Turut hadir ke majlis adalah Mantan Panglima Tentera Darat Ke-10, Jeneral Tun Dr Mohamed Hashim bin Mohd Ali; Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Haji Ahmad; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki bin Muhammad; Ketua Staf Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Mohd Sofi bin Md Lepi dan Mantan-Mantan Panglima Tentera Darat.
Pelaksanaan acara sebegini adalah bertepatan dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu “Keutuhan Organisasi” yang menekankan aspek memperkasakan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan warga Tentera Darat Malaysia.
“KESEJAHTERAAN KELUARGA TENTERA DARAT DIUTAMAKAN, KEDAULATAN NEGARA TERJAMIN”