
NEGERI SEMBILAN, 13 Februari 2023 – Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain telah merasmikan Pelancaran Hari Tentera Darat Ke-90 (HTD Ke-90) bertempat di Hangar Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) hari ini.
Terdahulu, PTD telah menyampaikan Amanat Tahun 2023 yang menekankan tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda Kesejahteraan dan Kebajikan Warga Tentera Darat selari dengan keperluan strategik di peringkat Kementerian Pertahanan, Komitmen Membantu Kerajaan dan Rakyat melalui Pendekatan Civil-Military Cooperation (CIMIC) serta Kesiagaan dan Pengukuhan Organisasi Tentera Darat.
Seterusnya, PTD telah menyampaikan skrol Amanat PTD Tahun 2023 kepada Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Mardzuki bin Muhammad, Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim, Panglima Logistik Tentera Darat, Mejar Jeneral Hj Rusni bin Saad, Panglima 21 Grup Gerak Khas, Mejar Jeneral Nubli bin Haji Hashim dan Panglima 10 Briged Para, Brigedier Jeneral Khairul Azmizal bin Ahmad Natal.
Pelancaran HTD Ke-90 telah dilaksanakan dengan membawakan tema “Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin” yang menekankan aspek kebajikan dan keperluan warga TDM masih menjadi fokus utama demi kelangsungan kesiagaan TDM dalam menjaga kedaulatan negara. Majlis menyaksikan lintas langsung dari 4 lokasi iaitu Markas 2, 3, 4 dan 5 Divisyen bagi merealisasikan pelaksanaan Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu “Pelestarian Kesejahteraan Warga”.
Sambutan HTD Ke-90 ini lebih bermakna kerana nombor 90 merupakan nombor tentera seorang pejuang tanah air yang telah terkorban dalam peristiwa Bukit Chandu ketika mempertahankan kedaulatan tanah air iaitu Leftenan Adnan bin Saidi.
Semoga aspirasi dan halatuju TDM bagi Tahun 2023 terus cemerlang menerusi Amanat PTD Tahun 2023 serta Hari Tentera Darat Ke-90 dapat direalisasikan sepenuhnya untuk kebajikan warga TDM.