
MELAKA, 3 Februari 2023 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain dan isteri, Puan Sri Datin Seri Zainuriah binti Haji Mustapha selaku Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Darat telah diberikan penghormatan dalam Perbarisan Tempur Penghargaan Panglima Tentera Darat di Padang Kawad Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) (17 RAMD (Para)) Kem Terendak, Melaka.
Perbarisan ini dimulakan dengan Kawalan Kehormat Utama dan diikuti perbarisan yang berkonsepkan Perbarisan Tempur (Battle Group Task Force Thunderbolt) terdiri daripada 4 x Leading Para Battle Group dan Follow Up Para Battle Group iaitu gabungan Pasukan Infantri Para bersama elemen-elemen afiliasi daripada ketumbukan 10 Briged (Para) yang sinonim sebagai Pasukan Aturgerak Cepat Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Panglima Tentera Darat dalam ucapannya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Panglima dan seluruh warga 10 Briged (Para) dalam menjayakan perbarisan sempena lawatan penghargaan beliau ini.
PTD mengharapkan agar Formasi 10 Briged Para sentiasa bersedia untuk diaturgerakkan pada bila-bila masa dan dimana jua bagi memenuhi keperluan untuk melaksanakan operasi-operasi paras tinggi dan rendah demi menangani ancaman dan menjaga kepentingan strategik negara. Tahap kesiagaan yang tinggi ini telah dibuktikan melalui segala pencapaian yang telah berjaya diungguli dari segi pengurusan aturgerak operasi (dalam dan luar negara) mahupun aspek pentadbiran, latihan dan sukan.
Turut hadir menyaksikan perbarisan adalah Panglima Divisyen Ketiga Infantri, Mejar Jeneral Dato’ Rashidin Hashimi bin Ab Rashid; Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mejar Jeneral Azhan bin Haji Md Othman; Panglima 10 Briged (Para), Brigedier Jeneral Khairul Azmizal bin Ahmad Natal, Komander Artileri Divisyen 3 Divisyen, Brigedier Jeneral Norazman bin Ismail; Pegawai Memerintah 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT), Brigedier Jeneral Dato' (Dr) Amran bin Amir Hamzah dan Pegawai-Pegawai Kanan serta warga 10 Briged (Para).
Pelaksanaan perbarisan sebegini adalah bertepatan dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu “Keutuhan Organisasi” yang menekankan aspek memperkasakan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan warga Tentera Darat Malaysia.
" TINDAK PANTAS "