SEREMBAN, 13 Januari 2023 – Seramai tiga orang waris anggota Markas 1 Briged yang menghidapi penyakit kritikal, disantuni oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain dan Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Darat, Puan Sri Datin Seri Zainuriah binti Hj Mustapha bertempat di Wisma Perwira 1 Briged, Kem Rasah, Seremban. Lawatan Kebajikan PTD ini, dimulakan dengan kunjungan kepada adik Harith Ahmad, anak kepada Koperal Mohd Amin bin Pi Amaddin, anggota Kor Polis Tentera Diraja. Adik Harith Ahmad disahkan menghidap penyakit Autism dan masalah pembelajaran serta perlu menjalani rawatan setiap dua kali sebulan di Hospital Tuanku Jaafar( HTJ), Seremban. PTD kemudiannya menyantuni adik Umar Rayyan, anak kepada Kpl Mohd Aizat bin Yusof, anggota Kor Polis Tentera Diraja. Adik Umar Rayyan disahkan menghidap penyakit Jantung Berlubang dan kini sedang menjalani pemeriksaan secara berkala di Hospital Serdang, Selangor.
Lawatan diteruskan dengan PTD menziarahi Puan Amirah binti Mehat dan adik Muhammad Solahuddin, isteri dan anak kepada Sarjan Mohd Sharapudin bin Razak, anggota Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja. Puan Amirah disahkan menghidap penyakit Kencing Manis dan Darah Tinggi. Beliau kini perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan setiap 3 bulan sekali di Klinik Pasir Panjang manakala adik Muhammad Solahuddin disahkan menghidap penyakit Autism dan Jantung Berlubang dan perlu menjalani rawatan setiap 18 bulan sekali di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Setiap waris anggota ini, menerima sumbangan berbentuk hamper, serta sumbangan Tabung Kebajikan Tentera Darat (TKTD) bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh anggota.
Lawatan ini dilaksanakan secara ringkas disusuli dengan jamuan ringan dan sesi menandatangani Buku Lawatan. Turut hadir sepanjang lawatan kebajikan ini adalah Mejar Jeneral Azhan bin Haji Mohd Othman, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia bersama isterinya Puan Noor Ainy binti Mohd Ali dan Mejar Jeneral Dato' Rashidin Hashimi bin Abdul Rashid, Panglima 3 Divisyen.
Siri lawatan kebajikan sebegini adalah bertepatan dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD iaitu "Pelestarian Kesejahteraan Warga". Lawatan kebajikan ini akan terus dilaksanakan bertujuan memantau kebajikan warga Tentera Darat.
#TenteraDaratMalaysia#GagahSetia#TonggakKetiga