
KUALA LUMPUR, 5 Januari 2023 – Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain telah menghadiri Majlis Amanat Tahun Baru 2023 Menteri Pertahanan di Auditorim Wisma Pertahanan hari ini.
Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan telah menyampaikan amanat untuk menjelaskan perancangan dan hala tuju Kementerian Pertahanan serta hasrat beliau selaku peneraju kementerian bagi tahun 2023.
Selain itu, dalam amanat ini turut mengimbau lakaran pencapaian yang dikecapi Kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang tahun 2022.
Sehubungan itu, Kementerian Pertahanan akan meneruskan beberapa inisiatif bagi tahun 2023 yang meliputi Peningkatan Kesiagaan dan Keupayaan Pertahanan Negara, Pelestarian Kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan, Pemerkasaan Veteran ATM, Pembangunan Sains, Teknologi dan Industri Pertahanan, Pengukuhan Kerjasama Antarabangsa dan Tadbir Urus.
Menteri Pertahanan dalam ucapannya berkata, untuk mengharungi tahun 2023 yang mencabar ini, beliau menyeru seluruh warga Kementerian dan ATM, untuk terus memberikan komitmen yang tinggi, agar dapat menongkah segala gelora yang mendatang agar mampu memberikan nilai tambah kepada organisasi dan seterusnya kepada rakyat.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Adly bin Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM; Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan dan para Panglima Perkhidmatan serta para pegawai kanan awam dan ATM.