WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia

 

Bakara
KUALA LUMPUR, 10 September 2022 - Persidangan media filem MALBATT Misi Bakara telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain di Berjaya Times Square Hotel hari ini.
 
Syarikat Act 2 Pictures dengan kerjasama dan sokongan penuh Tentera Darat Malaysia telah menghasilkan sebuah filem yang memaparkan kisah sebenar perjuangan para perwira negara di Bakara Market, Mogadishu, Somalia pada tahun 1993 yang bakal menggegarkan pawagam pada tahun 2023.
 
MALBATT Misi Bakara yang telah memulakan penggambaran sejak pertengahan bulan Jun 2022 yang lalu dibarisi pelakon hebat antaranya Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Adlin Aman Ramli, Shaheizy Sam, Iedil Putra serta turut di bantu warga TD sebagai pelakon tambahan. Panglima Tentera Darat dalam ucapannya menyatakan rasa penghargaan kepada Tan Sri Vincent Tan dan Produksi atas penghasilan filem yang berdasarkan fakta sebenar sekali gus ianya merupakan satu bentuk penghargaan kepada pengorbanan para pejuang terdahulu yang telah menggadaikan nyawa demi menyempurnakan amanah negara. Panglima Tentera Darat juga turut menzahirkan ucapan penghargaan buat Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Ahmad Hasbullah bin Haji Mohd Nawawi (Bersara), mantan Panglima Tentera Darat Ke-27 kerana filem ini merupakan cetusan awal idea beliau pada tahun 2019.
 
Turut hadir ke persidangan media pada hari ini adalah Pengasas Berjaya Group Sdn Bhd, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dan barisan pegawai kanan Tentera Darat Malaysia serta para penyumbang dana bagi filem tersebut.
 
Tidak ketinggalan untuk turut hadir adalah pegawai dan anggota 19 RAMD yang terlibat di dalam misi sebenar pada tahun 1993 serta isteri dan anak kepada Allahyarham LKpl Mat Aznan bin Awang, anggota yang terkorban di dalam misi tersebut iaitu Puan Siti Zauyah binti Yahya dan SSjn Noor Azlinda binti Mat Aznan.
 
Penglibatan Tentera Darat Malaysia dalam menghasilkan sebuah naskah seni yang dapat memartabatkan lagi nama Tentera Darat dan negara amnya jelas menunjukkan ianya sejajar dengan pemerkasaan Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28, “Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam” yang dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap Tentera Darat.
Jangan lupa saksikan filem MALBATT Misi Bakara yang bakal menggegarkan pawagam seluruh Malaysia pada tahun 2023!