KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2022 – Bersempena dengan bulan kemerdekaan ini, Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Bagi Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan Tahun 2022 telah diadakan di Auditorium dan Ruang Legar Bangunan Wisma Pertahanan hari ini.
Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein itu turut dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Haji Affendi bin Buang TUDM, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain, panglima-panglima perkhidmatan, pegawai-pegawai, anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) serta petugas awam yang berkhidmat di Wisma Pertahanan.
Majlis dimulakan dengan penyampaian amanat Menteri Kanan Pertahanan bagi enam bulan pertama pemerintahan beliau bagi tahun 2022. Sebagai simbolik majlis hari ini, Menteri Kanan Pertahanan telah menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz yang mewakili warga Kementerian Pertahanan dan Tan Sri PAT yang mewakili warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam majlis yang sama, turut diadakan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ke-50 bagi memperingati peranan LTAT kepada seluruh warga ATM. Bertemakan “Transformasi Nadi LTAT”, sambutan kali ini bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai usaha dan perancangan LTAT untuk meneruskan pelan transformasi menjadi dana persaraan yang berdaya saing bagi membolehkan LTAT mengisytiharkan kadar dividen yang mampan dan lestari.
Selain itu, turut diadakan Pelancaran Bank Bergerak Affin atau Affin Mobile Financial Centre oleh Menteri Kanan Pertahanan yang merupakan suatu inisiatif kerjasama pihak Affin Bank bersama Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia dalam memperluas pelan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH). Penyampaian cek sumbangan kepada Yayasan LTAT daripada beberapa pihak syarikat turut diadakan dan Menteri Kanan Pertahanan, selaku pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan LTAT telah menerima replika cek tersebut.