WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia
HariPahlawan2022
PUTRAJAYA, 31 Julai 2022 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah berkenan bercemar duli ke Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan 2022 di Dataran Pahlawan Putrajaya hari ini.
 
Hari Pahlawan yang disambut pada 31 Julai setiap tahun bertujuan mengingati dan menghargai semangat serta jasa para perwira dan perajurit di dalam pasukan keselamatan negara terutama mereka yang gugur demi mempertahankan keamanan serta kedaulatan tanah air Malaysia dan istiadat tahunan ini kali terakhir diadakan pada tahun 2018. Pada tahun 2019, istiadat berkenaan tidak dapat diadakan berikutan keadaan jerebu teruk yang melanda pada ketika itu. Manakala pada tahun 2020 dan 2021 juga tidak dapat dijayakan berikutan pandemik Covid-19. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk Sambutan Hari Pahlawan tahun ini dilangsungkan memandangkan keadaan semasa negara yang berada di fasa endemik.
 
Kemuncak bagi acara ini adalah Persembahan Pantomim Pengisahan Sejarah Pejuang-pejuang anggota pasukan keselamatan negara. Tentera Darat Malaysia telah mempersembahkan pantomim 'Pertempuran di Pasar Bakara 1993' oleh pegawai dan anggota daripada Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) yang mengimbau kembali pengorbanan Koperal Mat Aznan yang gugur ketika pertempuran di Mogadishu, Somalia .
 
Pada tanggal 3 dan 4 Oktober 1993, berlaku pertempuran membabitkan tentera elit Amerika Syarikat (AS) dengan pihak militia Somalia di Bakara Market. Pasukan 19 RAMD yang ketika itu terlibat dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Kontinjen Malbatt 1 UNOSOM II (United Nations Operation in Somalia) telah dikerahkan ke kawasan pertempuran untuk menyelamatkan anggota elit US Rangers yang terperangkap di Pasar Bakara kerana dikepung militia pimpinan Jeneral Mohamed Farrah Aidid.
 
Misi yang disertai 114 anggota 19 RAMD Mekanize itu akhirnya berjaya menyelamatkan Tentera AS. Namun, seorang anggota 19 RAMD iaitu Koperal Mat Aznan Awang telah terkorban dalam pertempuran tersebut di mana kereta perisai yang dipandu Allahyarham telah diserang hendap pemberontak menggunakan senjata roket RPG yang menembusi cermin hadapan kenderaan perisai tersebut. Di atas pengorbanannya, Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang telah dikurniakan Darjah Keberanian Tertinggi Persekutuan, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung.
 
Persembahan pantomin ini juga diiringi sajak bertajuk ‘Bakara’ yang telah dideklamasikan oleh Staf Sarjan Noor Azlinda bt Mat Aznan yang juga merupakan anak kepada Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang bergandingan bersama Kpl Siti Nur Aini binti Jasmi yang telah membuatkan hadirin penonton tersentuh dan mengalirkan air mata.
 
Terdahulu Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2022 telah dimulakan dengan Kawalan Kehormatan Utama Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong dan Panji-Panji Rejimen daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang terdiri daripada 4 pegawai dan 64 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Mejar Nurul Fauzan bin Md Sabri.
 
Perbarisan statik pula melibatkan 6 detasmen daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kontinjen dari Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Kontinjen Pesara Polis dan Bekas Polis Malaysia (PBPM) berkekuatan 66 pegawai dan 1055 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP). Dari jumlah tersebut, seramai 54 pegawai dan 830 anggota LLP adalah dari ATM, 4 pegawai dan 82 anggota dari PDRM serta 152 veteran dari PVATM dan PBPM. Ketua Perbarisan adalah Lt Kol Muhammad Ikhwan bin Hussin, Pegawai Memerintah Batalion Kesepuluh Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD).
 
Turut hadir ke Istiadat pagi ini adalah Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein serta isteri YM Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah, Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM dan isteri YAM Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hjh Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain dan isteri, Puan Sri Datin Seri Zainuriah binti Haji Mustapha.
 
Penglibatan TD bersama perkhidmatan dan agensi kerajaan yang lain dalam penganjuran Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2022 ini membuktikan kesatuan dan hubungan baik antara agensi terus diperkasa sejajar dengan dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu, “Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam”.