
Turut berangkat ke majlis tersebut adalah KDYMM Pemangku Sultan Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Selain daripada itu, tetamu kenamaan negeri yang turut hadir adalah Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain, Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Haji Yazid bin Haji Arshad TUDM, wakil Panglima Tentera Laut dan wakil Panglima Tentera Udara.
KDYMM Seri Paduka Baginda telah menerima Tabik Hormat Diraja dan berkenan untuk memeriksa Kawalan Kehormat Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada 4 pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Mejar Mohd Noorazmin bin Abd Rahim.
Gimik pelancaran menyaksikan persembahan gabungan aset dan aksi penerjunan anggota pasukan khas daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan yang sinonim dengan MK AB yang menaungi ketiga-tiga cabang perkhidmatan di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kem Al-Sultan Abdullah ini telah siap sepenuhnya pada 25 April 2019 dan telah diserahkan kepada MK AB pada 11 Jun 2019 serta menempatkan lebih 300 pegawai dan anggota LLP dari kesemua cabang perkhidmatan.
MK AB diwujudkan untuk mengendalikan tugas berdasarkan kepada konsep penugasan bersama yang bersifat tiga khidmat di dalam ATM dan juga berperanan menyelaraskan keperluan ATM di dalam operasi dan misi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Lihat Galeri Gambar Disini