GEMAS, 20 Jun 2022 - Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain telah menghadiri raptai Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan pada hari ini.
Raptai pada hari ini adalah sebagai persiapan akhir sebelum acara sebenar yang akan dilaksanakan pada 21 Jun 2022. Antara aset tempur Tentera Darat Malaysia yang terlibat dalam LKT tahun ini ialah PENDEKAR, AV8 GEMPITA, ACV 300 ADNAN, dan LIPAN BARA.
Saban tahun, Lapang Sasar Asahan pasti akan digegarkan dengan dentuman tembakan dan bom serta diliputi dengan kepulan asap. Keadaan di lapang sasar seumpama berada di medan perang. Para penonton yang hadir akan dipukau dengan kehebatan aset tempur Tentera Darat Malaysia.
LKT ini juga merupakan satu demonstrasi keupayaan aset yang melibatkan peluru hidup. Oleh itu, segala prosedur keselamatan semasa mengendalikan semua sistem persenjataan ini hendaklah dipatuhi sepenuhnya.
Penganjuran aktiviti sebegini adalah sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28, “Kelansungan Misi dan Kesiagaan”, yang menekankan kepada aspek pengoperasian untuk aturgerak pada sebilang masa.

