PUTRAJAYA, 8 Jun 2022 – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM telah hadir menyaksikan raptai penuh bagi Isitiadat Mengarak Panji-Panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya hari ini.
Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama-sama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus giat melaksanakan latihan dan persiapan terakhir perbarisan sebelum istiadat sebenar yang akan berlangsung pada 10 Jun 2022 nanti.
Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perbarisan bersama-sama agensi lain yang terlibat sebagai ahli jawatankuasa induk seperti Polis Diraja Malaysia, Perbadanan Putrajaya, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Radio Televisyen Malaysia, Jabatan Penerangan dan pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia.
Panji-panji yang diarak adalah suatu penghormatan negara yang dikurniakan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen/Kor dari perkhidmatan TDM, TLDM dan TUDM.
Pelaksanaan acara sebegini adalah selari dengan Tonggak Kedua dan Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28.
Tonggak Kedua adalah pengukuhan “Keutuhan Organisasi” yang menekankan keada aspek memantapkan kompetensi warga dengan kemahiran demi kecemerlangan organisasi dalam menzahirkan ketaatsetiaan kepada Raja dan Negara.
Manakala, Tonggak Kelima adalah kerjasama yang erat membuktikan ‘’Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam” yang menekankan aspek bekerjasama dengan pihak kerajaan dan awam bagi apa jua program dapat dilaksanakan dengan lancar dan erat.