TAIPING, 1 Jun 2022 – Tirai bulan Syawal ditutup dengan sambutan yang begitu meriah oleh warga Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD) di Dataran Pemanduan Pusat Latihan Kor Perkhidmatan (PULMAT), Kem Volturno, Taiping, Perak hari ini.
Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Warga PLDTD tersebut diserikan dengan kehadiran Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman mewakili Panglima Tentera Darat hadir bersama isteri, Datin Seri Ramlah binti Dawi dengan diaambut oleh Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato’ Nazari bin Abdul Hadi dan isteri, Datin Rasilah binti Shaari.
Dataran Pemanduan PULMAT telah dihiasi dengan begitu indah dan berwarna-warni sebagai simbolik kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Majlis dimulakan dengan gimik membakar meriam buluh yang telah disempurnakan oleh Datuk Seri TPTD. Ketibaan Datuk Seri TPTD dan isteri, kemudiannya telah disambut dengan pertunjukan seni silat. Majlis juga berlangsung meriah dengan sesi beramah mesra dan kunjungan ke gerai-gerai yang tersedia indah.
Tradisi pemberian duit raya kepada anak-anak warga PLDTD telah disempurnakan oleh Datuk Seri TPTD dan isteri. Kebersamaan majlis tersebut diakhiri dengan acara bergambar Datuk Seri TPTD dan isteri, para tetamu dan isteri serta seluruh warga PLDTD. Jamuan hari raya ini juga telah diserikan dengan halwa telinga hasil persembahan dari Band D’Semenggos.
Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri dapat dilihat setelah pelbagai penganjuran majlis hari raya oleh seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) yang diadakan sepanjang bulan Syawal. Ini membuktikan hubungan erat di antara tampuk pimpinan tertinggi TDM dengan seluruh warga terjalin erat. Penganjuran majlis sebegini adalah sejajar dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu “Pelestarian Kesejahteraan Warga”, yang menekankan aspek kebersamaan dengan warga TDM.