
SUNGAI BESI, 21 Mei 2022 - Aktiviti kerohanian dalam kalangan warga Tentera Darat Malaysia (TDM) terus diperkukuhkan dengan berlangsungnya Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob Bersama Warga Tentera Darat Malaysia.
Ketibaan YAB Perdana Menteri disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussien, YB Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain dan isteri Puan Sri Datin Seri Zainuriah binti Hj Mustapha serta barisan kepimpinan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Kesejahteraan Keluarga TDM dalam ironi Keluarga Malaysia diperkasakan dengan majlis yang berlangsung penuh meriah dan gilang gemilang yang diadakan di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi dengan kehadiran kira-kira 5000 orang warga TDM dan keluarga serta jemputan yang terdiri daripada mantan-mantan PTD, veteran TDM dan ketua-ketua perkhidmatan kerajaan yang lain serta penasihat pertahanan ketenteraan luar negara.
Berkonsepkan "Rumah Terbuka Kembali Ke Desa", majlis bermula dengan gimik perasmian majlis oleh YAB Perdana Menteri.
Dalam majlis tersebut juga menyaksikan YAB Perdana Menteri turut berbesar hati menyampaikan penyerahan duit raya kepada anak-anak warga TDM yang hadir dan penyampaian hadiah kepada pemenang rumah tercantik yang dipertandingkan antara formasi dan pakaian ‘awesome’.
Turut dipertontonkan buat tatapan YAB Perdana Menteri adalah rakaman ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada anggota-anggota yang berada di perbatasan tanah air dan misi pengaman luar negara. Kemudiannya, tirai majlis diakhiri dengan pertunjukan bunga api.
Sesungguhnya, majlis sebegini adalah seiring dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu "Pelestarian Kesejahteraan Warga" yang menekankan aspek kebersamaan bersama warganya dan juga sejajar dengan aspirasi “Keluarga Malaysia” oleh YAB Perdana Menteri.