LAHAD DATU, 3 MEI 2022 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain dan pucuk pimpinan tertinggi Tentera Darat Malaysia (TDM) terus menyantuni anggota di perbatasan dengan sesi lawatan ke kawasan-kawasan operasi di Sabah dan lawatan Tan Sri PTD ke pos yang kedua di Sabah ialah di Felda Sahabat 16 pada hari ini.
Tan Sri PTD telah menzahirkan lawatan di perbatasan dengan sesi perjumpaan bersama anggota operasi di Markas Taktikal Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja (MK Tak 10 RRD), Felda Sahabat 16. Tan Sri PTD turut menyempurnakan penyampaian beg Bingkisan Hari Raya Aidilfitri kepada anggota-anggota yang sedang bertugas.
Tan Sri PTD dalam ucapan ringkas beliau sentiasa mengingatkan para anggota yang sedang bertugas agar sentiasa mengekalkan mutu disiplin di tahap yang baik bagi menjaga nama baik organisasi TDM. Walaupun, aturgerak operasi ini melibatkan ancaman Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan kumpulan pemberontakkan Abu Sayyaf, anggota-anggota yang bertugas diingatkan agar sentiasa peka dalam melaksanakan apa jua tugasan yang diamanahkan demi kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara agar sentiasa terjamin dan sejahtera.
Warga TDM mendoakan agar para pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang sedang melaksanakan tugasan dalam apa jua operasi TDM untuk terus tabah di musim menyambut perayaan ini.
Lawatan sebegini seiring dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD iaitu “Pelestarian Kesejahteraan Warga”, yang memfokuskan kepada aspek kebajikan dan peningkatan moral warganya.