KUALA LUMPUR, 2 Mei 2022 - Aktiviti kerohanian menjelang 1 Syawal dalam kalangan warga Tentera Darat Malaysia terus diperkukuhkan dengan berlangsungnya Solat Sunat Aidilfitri bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain bersama warga Tentera Darat Malaysia dan kariah sekitar bertempat di Masjid Khalid Al-Walid, Jalan Padang Tembak pada hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hajjah Tengku Muhaini binti Al Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, Puan Sri Datin Seri Zainuriah binti Hj Mustapha.
Usai solat, acara diteruskan dengan sesi khutbah Aidilfitri yang bertajuk "Kebesaran Aidilfitri Syawal Dirai" telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Mejar Jeneral Haji Rashidi bin Bujai.
Pelaksanaan majlis sebegini adalah selaras dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke–28 iaitu “Pelestarian Kesejahteraan Warga”, yang memfokuskan kepada aspek kerohanian warganya.