KUALA LUMPUR, 25 April 2022 - Majlis Khatam Al-Quran BAKAT Darat Tahun 2022 telah diadakan di Rumah BAKAT Darat, Kem Perdana Sungai Besi. Majlis ini telah dihadiri oleh Puan Sri Datin Seri Zainuriah binti Hj Mustapha, Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Darat, dan turut dihadiri oleh Datin Seri Ramlah binti Dawi, Timbalan Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Darat, Datin Hartiah binti Hamzah, Naib Pengerusi 1 Jemaah Tertinggi BAKAT Darat serta Ahli -Ahli Jemaah Tertinggi BAKAT Darat.
Penglibatan peserta Khatam Al-Quran BAKAT Darat Tahun 2022 adalah seramai 76 orang mengikut kuota yang telah diberikan kepada 12 formasi yang telah dibimbing oleh 12 orang ustazah pembimbing peserta Khatam Al-Quran BAKAT Darat.
Majlis Khatam Al-Quran ini telah dilaksanakan secara serentak mengikut zon iaitu zon Semenanjung di Rumah BAKAT Darat, Kem Perdana Sg Besi, zon Sabah di Masjid As Salam, Kem Lok Kawi dan zon Sarawak di Masjid Solahuddin Al Ayubbi, Kem Penrissen, Kuching.
Majlis ini telah dimulakan dengan acara Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Leftenan Kolonel Norhayati binti Yusoff dan diikuti dengan pengisian tazkirah bertajuk "Al-Quran Sebagai Teman".
Sebelum mengakhiri majlis, Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Darat telah menyampaikan cenderahati kepada para peserta Khatam Al-Quran, ustazah pembimbing serta Ahli Jemaah Tertinggi BAKAT Darat yang hadir.
Majlis ini merupakan salah satu aktiviti kerohanian BAKAT Darat yang diadakan bertujuan sebagai pengisian rohani dan ibadah yang dilaksanakan setiap tahun pada bulan Ramadan.