WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia
SUNGAI BESI, 21 Februari 2022 – Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain telah menyampaikan Amanat Tahun 2022 beliau dan merasmikan Pelancaran Sambutan Hari Tentera Darat Ke-89 bertempat di Wisma Perwira Tentera Darat, pada hari ini.
 
Sesi penyampaian amanat tersebut dimulakan dengan Tan Sri PTD terlebih dahulu mengimbau kejayaan yang telah dicapai oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) sepanjang tahun 2022. Amanat PTD Tahun 2022 meliputi enam fokus iaitu Kebajikan dan Kesejahteraan Warga Tentera Darat, Meningkatkan Kesiagaan dan Keupayaan TD, Penstrukturan dan Penyusunan Organisasi Tentera Darat, Pemerkasaan Tadbir Urus Dan Perbelanjaan Berhemah serta Meningkatkan Diplomasi Pertahanan, Membantu Kerajaan Dalam Military Operations Other Than War (OOTW).
 
Seterusnya, penyampaian skrol Amanat Panglima Tentera Darat telah disempurnakan oleh Tan Sri PTD kepada Panglima-Panglima Formasi iaitu Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Mardzuki bin Muhammad, Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato’ Nazari bin Abd Hadi, Panglima Logistik Tentera Darat, Mejar Jeneral Abdul Aziz bin Samsi @ Haji Samsudin, Panglima 21 Grup Gerak Khas, Mejar Jeneral Nubli Haji Hashim dan Panglima 10 Briged Para, Brigedier Jeneral Khairul Azmizal bin Ahmad Natal.
 
Dalam majlis yang sama, Pra Pelancaran Sambutan Tentera Darat Ke-89 yang membawakan Tema “Kesejahteraan Keluarga TD Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin” juga telah dirasmikan oleh Tan Sri PTD. Majlis menyaksikan terdapat lintas langsung dari 12 lokasi di seluruh negara bagi merealisasikan pelaksanaan Tonggak Ke-3 Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu “Pelestarian Kesejahteraan Warga”.
 
Lintas langsung dari 12 lokasi di seluruh negara meliputi Pelancaran Senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kelas G di Desa Tun Razak, Kem Terendak, Penyerahan Kunci RKAT Kelas G (2+1) di Kem Syed Putra, Ipoh, Penyerahan Kunci RKAT Briged Ke-30 Infantri Malaysia (30 Briged) di Kem Oran, Perlis, Pembinaan RKAT Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD), Kem Pakit, Sri Aman, Pelancaran Pengiktirafan Kompetensi dan Kemahiran Pegawai/Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) di Kem Sungai Udang, Terendak, Pelancaran Program Perintis Kerjaya Kedua LLP TD Siri 2/22 di Kem Tun Ibrahim, Kajang, Kemajuan Pembinaan Poliklinik Angkatan Tentera di Kem Penrissen, Kuching, Pelancaran Amal Shoppe BAKAT di Markas Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Kem Wardieburn, Kuala Lumpur, Pelancaran Pecah Tanah Masjid Markas Briged Kedua Infantri Malaysia (MK 2 Briged) di Kem Syed Putra, Ipoh, dan Pelancaran Taska serta Pusat Tuisyen di RKMAT-TD Bukit Jalil.
 
Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan pelancaran Instrumen Al-Quran Tentera Darat iaitu MyQuranTD dan Buku Fiqh Askari. MyQuranTD telah dibangunkan sepenuhnya oleh Sel Agama Markas Tentera Darat dengan kebolehan mengukur skala bacaan Al-Quran warga Tentera Darat dan telah mendapat pengiktirafan daripada pakar Al-Quran, di antaranya Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Johan Qari Antarabangsa dan lain-lain. Manakala Buku Fiqh Askari pula merupakan inisiatif Sel Agama Markas TD untuk memberi panduan kepada Warga TD mengerjakan ibadah semasa dalam latihan dan operasi. Buku ini merupakan yang pertama di dunia yang menjelaskan tatacara mengikut kesesuaian dalam apa jua situasi di medan.
 
Semoga aspirasi dan halatuju TDM bagi Tahun 2022 terus cemerlang menerusi Amanat PTD Tahun 2022 serta tema sempena Sambutan Hari Tentera Darat Ke-89 dapat direalisasikan sepenuhnya untuk kebajikan warga TDM.