WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia
 
KUALA LUMPUR, 28 Januari 2022 – Majlis Perasmian Wisma Bintara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara rasminya dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz pada hari ini.
 
Turut hadir menyaksikan majlis perasmian tersebut, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain mewakili Panglima Angkatan Tentera (PAT) bersama-sama dengan Panglima-panglima Perkhidmatan yang lain.
 
Wisma Bintara ATM berperanan sebagai organisasi yang menyediakan kemudahan penginapan, sajian, riadah, sosial dan perkhidmatan hospitaliti kepada Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) ATM yang berkhidmat di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH).
 
Untuk rekod, Wisma Bintara ATM telah ditubuhkan pada 1978 di Jalan Padang Tembak Kuala Lumpur. Penubuhan wisma ini sejajar dengan transisi kuasa pemerintahan tentera daripada ‘Malaya Command Headquarters’ oleh pihak British kepada ‘Armed Forces Headquarters’ milik Kerajaan Malaysia.
 
Menelusuri sejarah, bangunan Wisma Bintara ATM yang lama telah dirobohkan pada tahun 2013 bagi rancangan pembangunan yang baru. PTTK yang menghuni di wisma tersebut telah ditumpangkan sementara di Blok F, Rumah Keluarga Angkatan Tentera Desa Pasifik, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Namun, rancangan pembinaan bangunan wisma telah terhenti disebabkan faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan. Setelah sekian lama, pembinaan bangunan baru Wisma Bintara ATM telah dicetuskan semula pada tahun 2015 bagi menampung peningkatan keperluan penginapan bagi PTTK yang bertugas di KEMENTAH dan mula dibina pada 3 Julai 2017. Kos pembinaan wisma ini adalah sumbangan dari pihak Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) iaitu sebanyak RM 30 juta di bawah program 'Corporate Social Responsibility' (CSR).
 
Wisma Bintara ATM menyediakan 200 bilik penginapan yang selesa dengan 70 bilik (Jenis A) dikhaskan untuk Pegawai Waren setaraf manakala selebihnya 130 bilik (Jenis B) diperuntukkan untuk PTTK berpangkat Staf Sarjan dan Sarjan setaraf. Wisma Bintara ATM ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan peralatan moden termasuk surau, dewan banquet, gelanggang sukan, gymnasium, ruang istirehat dan lain-lain.
 
Sesungguhnya, majlis perasmian sebegini seiring dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu "Pelestarian Kesejahteraan Warga" yang turut menekankan kepada peningkatan kualiti hidup, keperluan kebajikan dan kesejahteraan warga Tentera Darat Malaysia.