WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia
 Kadet22
SKUDAI, 7 Januari 2022 – Seramai 88 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), ditauliahkan sebagai Pegawai Muda di dalam Rejimen Askar Wataniah, pada hari ini.
 
Kesemua Pegawai Kadet tersebut telah ditauliahkan di dalam Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES Darat Ke-39 bagi Zon Selatan. Majlis yang telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain, dilangsungkan di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai.
 
Di dalam majlis yang sama, Leftenan Muda Umar Alfaruq bin Abdul Mutalib dianugerahkan sebagai Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UTM, manakala Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UTHM dianugerahkan kepada Leftenan Muda Amyrul bin Nordin.
 
Tan Sri PTD di dalam ucapannya, mengucapkan tahniah kepada kesemua Pegawai Muda PALAPES Darat yang telah ditauliahkan pada hari ini. Beliau berharap agar segala ilmu serta pengetahuan yang telah diperolehi sepanjang tempoh latihan ketenteraan tersebut akan dapat memberikan manfaat dan dapat dipraktikkan di dalam apa jua bidang kerjaya yang diceburi kelak.
 
Kelazimannya, seseorang Pegawai Kadet PALAPES akan ditauliahkan di dalam Majlis Istiadat Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES, yang dilaksanakan dengan penuh istiadat perbarisan dan penyampaian watikah tauliah yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Namun ekoran penularan wabak COVID-19, majlis tersebut digantikan dengan Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES Darat Ke-39. Majlis ini telah dirancang untuk dilaksanakan di lima buah zon, dijangka melibatkan 1,015 Pegawai Kadet PALAPES Darat dari 16 universiti awam, yang telah menamatkan latihan pada tahun 2020.
 
Majlis sebegini akan diteruskan ke empat buah zon yang lain iaitu, Zon Tengah 1 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Zon Tengah 2 di Universiti Putra Malaysia, Zon Utara di Universiti Sains Malaysia, dan Zon Sarawak dan Sabah di Universiti Malaysia Sarawak.
 
Sesungguhnya, majlis pentauliahan sebegini selaras dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu “Keutuhan Organisasi”, yang memberikan penekanan kepada aspek pengukuhan profesionalisme, pemerkasaan jati diri dan pembudayaan integriti, nilai etika dan moral.
 
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua Pegawai Muda PALAPES Darat yang telah ditauliahkan.