WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia
5MejJenDrKwong1
PORT DICKSON, 15 Disember 2021: Seramai 19 pegawai dan 281 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Kor Armor Diraja (KAD) serta 21 buah kenderaan perisai turut terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Mejar Jeneral Dr Kwong Fook Wen di Padang Kawad Rejimen Kedua KAD (2 KAD), Kem Sunggala, Port Dickson pada petang tadi dengan mematuhi norma baharu dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
 
Perbarisan penghargaan yang dilaksanakan secara perbarisan berkenderaan ini merupakan simbolik khusus kepada Kor Armor bagi menghargai jasa, khidmat dan bakti yang telah dicurahkan oleh Mejar Jeneral Dr Kwong Fook Wen selama 40 tahun, 6 bulan dan 27 hari di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya.
 
MejJenDrKwong2
 
Terdahulu, ketibaan Mejar Jeneral Dr Kwong dan isteri Puan Yap Wei Lai disambut oleh Pengerusi KAD, Mejar Jeneral Dato’ Zaidan bin Atan dan Pengarah KAD, Brigedier Jeneral Hasanudin bin Ab Ghani bersama isteri masing-masing dan diiring ke Pentas Hormat untuk menerima tabik hormat terakhir daripada anggota perbarisan yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Rejimen Ke-11 Kor Armor Diraja (11 KAD), Leftenan Kolonel Mohd Zuraidi bin Zainal Abidin.
 
Turut menyerikan Perbarisan Penghargaan kepada Mej Jen Dr Kwong adalah Panglima Medan Barat Tentera Darat iaitu Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan bagi mewakili Panglima Tentera Darat.
 
Dalam ucapan Mejar Jeneral Dr Kwong, beliau juga sempat berkongsi sedikit pengalaman beliau sebelum mengundurkan diri dari perkhidmatan yang beliau cintai dengan beberapa aspek serta menasihati kepada warga KAD untuk menentukan kompetensi anggota krew dan keberkesanan peralatan dan aset di dalam melaksanakan tugas dan operasi yang diamanahkan.
 
Mengimbas kembali keperibadian Mejar Jeneral Dr Kwong, beliau dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang pada 16 Disember 1961 dan memasuki Sekolah Pegawai Kadet, Port Dickson pada 18 Mei 1981 serta ditauliahkan sebagai Pegawai Tauliah Jangka Pendek pada 6 Mac 1982 ke dalam Kor Armor Diraja.
 
Beliau yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Teknologi Pertahanan (UPNM) pernah menyandang jawatan penting semasa dalam perkhidmatan. Antaranya, Pegawai Memerintah Rejimen Pertama Kor Armor Diraja, Ketua Cawangan Doktrin Tempur di Markas Latihan TD, Pengarah Alat di Bahagian Penyelidikan dan Penilaian Tentera Darat (BPPTD), Pengarah Inovasi dan Inspektor Jeneral Tentera Darat (IJTD) di Bahagian Inspektorat Tentera Darat (BITD), Markas Tentera Darat.
 
MejJenDrKwong3
Sejurus tamat perbarisan, para hadirin dan anggota perbarisan menikmati jamuan minum petang dan acara diakhiri dengan 'Street Lining' di mana Mejar Jeneral Dr Kwong Fook Wen bersama isteri diarak menaiki 'Ferret Scout Car' yang ditarik oleh warga KAD.
 
Turut hadir, Panglima 3 Div, Mejar Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim.